PEKAK, BUTA dan BISU

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 4:43 PM | 0 comments »

Suasana aman, harmoni dan kesepaduan antara kaum jika di lihat dari segi mata kasar sungguh menarik minat orang yang pertama kali berkunjung di negara ini. Dalam suasana kepelbagaian kaum dan juga bermacam adat menjadi contoh kepada masyarakat asing di luar sana bahawa betapa makmurnya bumi Malaysia kerana dapat hidup aman dan bersatu padu di bawah satu negara.

Tetapi sebagai rakyat Malaysia, penulis cuba untuk melihat dari perspektif yang berbeza atau dari sudut yang lain sebagai seorang Mahasiswa yang mempunyai pandangan dan pendapat tersendiri setelah meneliti dan memerhati beberapa perkara. Tapi ingin di tegaskan bahawa, dalam penulisan ini Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Jika dahulu, kita melihat mahasiswa begitu matang menangani sebarang isu dan perkembangan semasa. Tetapi hari ini, ramai mahasiswa yang cuba untuk menjadi hamba kepada diri sendiri, tiada sensitiviti, hidup seolah-olah tidak menyedari keberadaan orang lain di sekeliling. Golongan seperti ini adalah manusia yang menutup semua pintu untuk manusia lain mendekatinya dalam menjalani kehidupan sebagai seorang mahasiswa. Hanya memelihara kepentingan diri tanpa mengambil kisah orang di sekeliling. Budaya seperti ini jika di biarkan berkembang biak, tunggulah pada suatu masa di mana negara akan menuju kehancuran. Lahirlah mahasiswa yang lemah dan lesu.

Jika melihat fenomena masalah yang berlaku di kalangan masyarakat pada hari ini, tidak dapat di bayangkan apa yang akan berlaku pada tahun-tahun yang mendatang. Apabila adegan maksiat di televisyen sudah menjadi kebiasaan, isu rasuah menjadi amalan biasa pimpinan negara, hubungan antara lelaki dan perempuan juga sudah menjadi biasa, jangan hairan pada suatu hari MURTAD juga menjadi suatu perkara yang biasa dalam kehidupan masyarakat kita, Na’uzubillah. Adalah suatu bencana kepada umat apabila maksiat menjadi perkara biasa dan tidak lagi di ambil peduli.

Masyarakat hari ini sudah BUTA. Bukan buta matanya tetapi buta hatinya. Meletakkan dunia dihadapan dan mengabaikan kehidupan akhirat. Penyakit inilah yang di sebutkan Rasulullah sebagai Cintakan Dunia dan takutkan mati.

Tanda-tanda hati itu sudah menjadi buta apabila ayat-ayat Al-quran atau kisah-kisah teladan yang dibacakan dan diperdengarkan kepadanya tidak lagi memberi kesan terhadap diri kita. Ini tidak lain disebabkan banyaknya maksiat yang kita lakukan kepada Allah. Banyakkan beristighfar kepada Allah semoga diampunkan segala dosa yang kita lakukan dan dibukakan pintu hati untuk menerima hidayah dariNya.

Kontemporari juga, Adalah silap apabila wujud suara yang menghalang idealisme untuk bersuara. Ini kerana kadang-kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan pelan bertindak yang realistik dan sistemik. Kebatilan yang kadangkala dilakukan oleh sebahagian pihak tidak lagi berani di suarakan. Semua menjadi BISU, diam seribu bahasa. Golongan akademik hanya menjadikan ilmu yang di anugerahkan Allah hanya untuk tujuan Perut sendiri.

Ilmu tidak akan berkembang baik dan luas jika hanya didapati dalam bilik-bilik kuliah atau seminar-seminar sahaja. Sebaliknya penglibatan dalam dunia yang lebih luas akan meluaskan ufuk pemikiran kita dan mengembangkan horizon kecerdikan kita. Keadaan mahasiswa yang sentiasa mengiyakan serta hanya bertindak sebagai “pak angguk” sebenarnya merugikan kerajaan masa depan. Biasanya yang berani bersuara dan berani membantah, mereka muncul sebagai pemimpin yang tegar dan tegas mempertahankan maruah negara.

Ya, generasi baru harus dibentuk mulai sekarang. Generasi yang tidak hanya melihat dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi generasi berpandangan jauh dan meluas, seolah-seolah sayap matahari yang tidak hanya melimpah di satu tempat tetapi menerangi seluruh alam. Penulis mengajak untuk kita melakukan perubahan. Siapakah yang akan menentukan masa depan negara pada masa akan datang kalau bukan kita dan Kalau bukan sekarang masanya, bila lagi?? Kalau bukan di sini, di bumi Universiti Teknologi Malaysia ini,di mana lagi?? Renung-renungkan dan fikir-fikirkan. Wallahua’lam.

“Jadikanlah hari ini lebih baik dari hari semalam, esok lebih baik dari hari ini, lusa lebih baik dari hari esok dan hari-hari yang mendatang lebih baik dari hari-hari yang telah berlalu..”

0 comments