GAMIS Ketuai Front Mahasiswa Respon Isu Politik Perak

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:17 AM | 0 comments »

Kuala Kangsar, 6 Feb - Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) hari ini bakal mengetuai front mahasiswa lain antaranya Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (BERSATU), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Pro Mahasiswa Nasional dalam menggesa seluruh mahasiswa terutamanya sekitar Perak agar turun dalam Himpunan Mahasiswa Bersama Rakyat Perak pada pukul 3 Petang ini selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Ubudiyyah Kuala Kangsar.


Himpunan yang dijangka melibatkan 1000 mahasiswa itu akan diadakan ini bertujuan memberitahu kepada kerajaan baru negeri Perak di bawah Barisan Nasional kini bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang terlalu rapuh dan bakal mencetuskan kegawatan politik lebih dahsyat kepada tanah air dan negeri Perak sendiri.


Himpunan ini juga untuk mahasiswa merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak bagi memperbaharui mandat rakyat selepas keputusan 8 Mac seolah-olah sudah tidak dipedulikan ahli-ahli Parlimen yang melompat.


Presiden GAMIS, saudara Dzul Khairi ketika mengadakan sidang media petang semalam menyatakan keputusan yang dibuat oleh GAMIS tersebut adalah merasakan kepentingan fungsi mahasiswa dalam mengepalai gerakan mengembalikan budaya berpolitik yang sihat di pentas demokrasi yang mesti tunduk pada kuasa majoriti rakyat.


“Kami di peringkat GAMIS melihat suara mahasiswa kali ini perlu didengari supaya semua pihak bertindak mengembalikan budaya berpolitik yang sihat dan bermaruah di pentas demokrasi negara ini yang tunduk kepada kuasa majority rakyat, , bukannya adegan badut-badut politik murahan yang menjadi buah catur politikus berkepentingan sehingga rakyat yang terkorban ,”ujar beliau.


Beliau juga menggesa seluruh pencinta keadilan tanpa mengambilkira ideologi politik, bangsa dan agama untuk hadir bagi mengembalikan kestabilan politik di Perak. -mahasiswakini

0 comments