INTELEK '09 - Suntikan baru buat Mahasiswa

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:47 PM | 0 comments »



UTM Skudai :Seminar Keintelektualan Mahasiswa (INTELEK’09) anjuran Persatuan Mahasiswa Islam dengan kerjasama Persatuan Sains dan Teknologi (PESAT) dan Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PMP) telah berjaya diadakan pada 13 dan 14 Mac lepas iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu.

Forum “Dunia Baru Mahasiswa ” membuka tirai INTELEK’09 bertempat di N24. Kehadiran peserta forum amat mengalakkan apabila hampir 400 orang mahasiswa memenuhi dewan kuliah tersebut. Tajuk yang dikupas dalam forum tersebut adalah berkenaan dunia mahasiswa hari ini yang kian tertutup minda serta pemikirannya, hanya fokus pada pembelajaran semata-mata tanpa menghiraukan segala yang berlaku disekeliling.

Antara ahli panel yang dijemput khas untuk Forum "Dunia Baru Mahasiswa" ialah Ustaz Rifqi Maidin, Dr Arief Salleh, Timbalan Pengarah PPIPS dan En. Rosdi, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung cawangan Negeri Johor. Moderator pada forum tersebut adalah saudara Mohd Amin bin Mohd Hamami, Presiden PMIUTM. Turut hadir dalam program tersebut adalah Ustaz Nasir b. Masroom selaku pegawai agama Hal Ehawal Pelajar.


Dewan forum hangat apabila ahli panel menyentuh dan mempersoalkan keterlibatan mahasiswa dalam semua isu yang berlaku sama ada isu diperingkat nasional mahupun antarabangsa. Turut menjadi perbahasan dikalangan ahli panel mengenai isu PPSMI yang sedang hangat diperkatakan pada hari ini dan keterlibatan mahasiswa dalam menyatakan pendirian. AUKU, undang-undang yang selama ini menyekat potensi mahasiswa turut dibahaskan dalam forum tersebut. Kepelbagaian pandangan dikalangan ahli panel dilihat positif. Sekurang-kurangnya mahasiswa dapat menilai baik dan buruk sesuatu perkara atau isu yang berlaku.

Pada 14 Mac 2009 pula telah diadakan pembentangan kertas kerja oleh 3 penceramah yang dijemput khas. Program tersebut bermula dengan "Wacana Intelek" bersama Dato’ Prof Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, Pengarah UNESCO-RCEP. Beliau banyak menyentuh pengalaman beliau bersama mahasiswa di dalam dan luar negara. Sesuatu yang menarik perhatian apabila beliau berbicara soal "Kebodohan Intelektual" dan "Kejahilan Sekolah" di kalangan masyakat kita pada hari ini.Gejala ini semakin menular dikalangan mahasiswa dan mahasiswi di kebanyakan IPTA/IPTS. Tetapi siapakah yang harus dipersalahkan dalam persoalan ini?, sama-sama kita fikirkan.

"Kembara Intelektual", itu yang diungkapkan oleh beliau agar mahasiswa yang tidak mempunyai kemampuan untuk mengembara secara fizikal dapat mengembara secara Intelektual dengan membanyakkan dan mempelbagaikan bahan bacaan seperti buku, jurnal dan majalah-majalah yang bermanfaat.

Seterusnya pembentangan kertas kerja “Pemikiran Merentasi Zaman” oleh cikgu Azmi, Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) yang banyak membicarakan soal realiti semasa dan penyakit yang melanda masyarakat. Persoalan sikap individualistik masyarakat yang menyebabkan semakin tipis rasa bertanggungjawab, Soal Matearialistik yang hanya mementingkan status benda dalam semua perkara, dan budaya komersialisme dalam setiap perkara dilakukan antara topik yang hangat dibincangkan dalam pembentangan kertas kerja tersebut.

Pembentangan terakhir berkenaan tentang “Keajaiban Otak Manusia” oleh Prof Madya Dr Raden Budiyono dari Natural Health Sciences. PM Dr Raden yang mesra dengan panggilan Dr Raden telah menyentuh soal "Keajaiban Otak Manusia" dari sudut Sains dan Al-Quran. Ternyata yang hadir memberi respon yang baik dan banyak bertanya soalan berkenaan bagaimana untuk membangunkan potensi otak dalam membina keintelektualan mahasiswa.


Di akhir program tersebut, Saudara Ismail Bin Sirajudin, Naib Presiden 1 PMIUTM merangkap Timbalan Pengarah INTELEK'09 telah memberikan ucapan penggulungan mewakili Presiden PMIUTM yang tidak dapat bersama pada hari tersebut.

"Persatuan Mahasiswa Islam UTM komited dan serius dalam usaha mengembalikan jati diri mahasiswa agar lebih berintelektual pada masa akan datang. Dalam usaha melawan arus Hedonisme yang semakin "menggila" pada masa kini, kita akan cuba melawan dengan arus gelombang Intelektual dengan harapan gelombang yang kita bawa dapat menenggelamkan arus hedonisme di kampus UTM yang kita cintai ini." Jelas beliau pada ucapan penggulungan tersebut.

0 comments