Membina Iklim yang "Soleh" Melalui kempen Say No To Bonceng

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:18 AM | 1 comments »


ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.


Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.


Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.


Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.


Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.


Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke universiti, bergaul dengan kawan tanpa ada batas antara lelaki dan perempuan, melihat pasangan-pasangan berbonceng di sana sini, dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang telah di bina dirumah tadi akan terhakis sedikit demi sedikit.


Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:


Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya (Riwayat Ahmad)


Maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.


Firman Allah: (maksudnya):


Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).


Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.


Allah Maha Agung memerintahkan sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam. Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan.


Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.


Saya cuba membicarakan tajuk ini memandang meningkatnya kerunsingan kita semua terhadap keadaan persekitaran masyarakat yang dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Inilah hasilnya apabila tanggungjawab Amar Ma‘ruf dan Nahi Mungkar tidak menguasai masyarakat. Atau jika adapun suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh.


Bahkan kadangkala suruhan kepada makruf dan pencegahan kepada mungkar berjalan atas kepentingan tertentu. Kadar kempen kepada kesedaran seperti solat, tidak lebih hebat daripada kadar kempen kepada kelalaian dan kealpaan hidup. Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.


Perkara makruf itu begitu banyak jika hendak ditegakkan. Ini termasuk menyuruh kepada solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Juga menegakkan ilmu pengetahuan, keadilan, kebajikan, kedamaian merupakan tanggungjawab Amar Makruf.


Namun biasanya, penegakan yang makruf tidaklah begitu susah sesusah usaha mencegah perkara mungkar. Maka banyak pihak seperti penceramah-penceramah TV yang sanggup mengajak kepada yang baik tetapi takut untuk mencegah yang mungkar.


Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran. Bahkan suruhan yang makruf itupun hanya dalam perkara terpilih atau lebih tertumpu kepada soal-soal kelebihan amal. Tiada keberanian menyentuh perkara-perkara pokok seperti prinsip ilmu, keadilan dan seumpamanya.


Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):


Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).


Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.


Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.


Firman Allah: (maksudnya):


Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25).


Dalam menafsirkan ayat ini Ibn Abbas berkata : Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dikalangan mereka, Nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.


Sabda Rasulullah s.a.w:


Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).


Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.


Kata al-Nawawi (meninggal 676H):


“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim)


Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.


Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti membonceng antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.


Firman Allah:


(maksudnya) Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). (Surah al-An‘am, ayat 68).


Firman Allah juga: (maksudnya):


Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).


Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:


“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini.


Marilah kita bina iklim takwa..

Read more!

AL-KISAH DI PASARAYA BILLION KELANTAN

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 12:46 PM | 1 comments »


Di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk men yam paikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.

Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka...”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?"

Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu.. dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.

Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa a yam .. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu?

Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:"perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak.. takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak”

Sekian

* Article ini dikirimkan melalui e-mail. Menarik untuk dikongsi bersama.


Wallahu ‘Alam

Read more!

Perkembangan terbaru Kempen "UTM Say No To Bonceng"

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 2:50 AM | 0 comments »


Justify Full

01 September 2009 : Keputusan undian selama sebulan yang telah dibuat di blogspot PMIUTM menunjukkan seramai 287 orang respondan daripada 315 orang bersetuju supaya UTM dijadikan sebagai kawasan Larangan bonceng antara lelaki dan wanita bukan mahram. Manakala selebihnya iaitu seramai 28 orang atau 8% daripada 315 respondan tidak bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai Zon Larangan Bonceng.

Undian tersebut dijalankan oleh PMIUTM selaku penggerak utama adalah bertujuan untuk mendapatkan respon sebagai pengukur kepada kecenderungan mahasiswa . Sejak sebulan lalu kempen ini dijalankan, pelbagai pihak telah memberi respon sama ada yang bersetuju mahupun yang tidak bersetuju. Walaupun dalam jumlah respondan yang hanya 315 orang sahaja, keputusan majoriti menunjukkan mahasiswa kebanyakannya cukup bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng.

Dalam satu perkembangan yang lain, Pengerusi Badan bertindak UTM Zon Larangan bonceng,Saudara Ismail Bin Sirajudin telah dimaklumkan oleh Saudara Azim Fahada, Exco Kebajikan MPPUTM merangkap pengerusi Pro Mahasiswa UTM bahawa beliau telah menerima proposal daripada semua kolej di UTM berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pihak lembaga pengarah UTM yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kebajikan mahasiswa pada 9 September 2009 nanti.

Menariknya, kebanyakan Jawatankuasa kolej Mahasiswa (JKM) yang telah menghantar proposal mencadangkan supaya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng sebagai salah satu cadangan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dimana pimpinan mahasiswa diperingkat kolej juga mula menunjukkan respon positif terhadap kempen ini.

Desakan demi desakan dari pelbagai pihak InsyaAllah bakal mengubah utm kepada suasana yang lebih harmoni dengan wujudnya zon larangan bonceng ini. Justeru, pihak jawatankuasa pusat "UTM Say No To Bonceng" menyeru kepada semua mahasiswa UTM agar dapat memberi penerangan sama ada melalui risalah, blog individu atau ucapan lisan agar mahasiswa UTM lebih sedar tentang pentingnya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng. Sekian. MyLPM.

Ssumber: http://utmsayno2bonceng.blogspot.com

Read more!