Respon atau Membisu??

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:50 AM | 0 comments »


Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Namun, daya keintelektualan mahasiswa hari ini dilihat kian suram dengan tidak adanya sikap kritis para mahasiswa dalam memberi respon terhadap pelbagai persoalan kebangsaan dan kemasyarakatan yang semakin banyak. Apatah lagi untuk menawarkan jalan alternatif pemikiran dalam usaha mengatasi pelbagai masalah lokal dan global yang saat ini sangat membimbangkan dan kompleks untuk diselesaikan. Hanya untuk berpendapat sahaja, mahasiswa juga sudah tidak memiliki keberanian. Mengapa terjadi perkara sedemikian?


Mahasiswa dulunya di anggap sebagai juru bicara ummah, penggerak kepada gerakan perubahan dan menjadi “check and balance” kepada setiap yang berlaku di dalam Negara. Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang dalam bukunya “Menghayati budaya Ilmu” juga ada membahaskan soal keprihatinan sosial mahasiswa. Jelas beliau, “Kejayaan seseorang mahasiswa tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. Mahasiswa cemerlang juga berperanan untuk memahami dan mengambil kira hal kemanusiaan sejagat dan kepentingan masyarakat dalam pengajian dan kehidupan mereka”


Kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan. Sebagai pemimpin, penguasa intelektual di Universiti, kita harus menyedari dan menghargai nilai intelektualisme serta bersedia mewujudkan suasana yang kondusif untuk perkembangan keintelektualan termasuk kebebasan berfikir dan bersuara serta hak berbeza pendapat dengan sesiapa sahaja termasuk Ketua Negara sendiri.


Perkara ini kita perlu fikirkan dan rangka bersama dalam mewujudkan suasana mesra intelektual sebagaimana yang ingin digagaskan oleh yang berbahagia Dato’ Naib Canselor. Dalam pengamalan demokrasi kampus juga sepatutnya membawa erti kebebasan dan keterbukaan dalam pelbagai perkara. Kita tidak mahukan generasi yang disebutkan oleh Dr Siddiq Fadzil ketika membentangkan kertas kerja Krisis Pendidikan masa kini: Cabaran membina generasi berjiwa merdeka dalam kongres Rejuvinasi Sistem Pendidikan Islam Negara. Beliau cuba menggambarkan nasib generasi muda hari ini yang “serba sebelah.”



“mempunyai dua mata tetapi hanya dibenarkan melihat sebelah, punya dua telinga tetapi hanya sebelah yang mendengar, punya dua tangan tetapi hanya boleh mencapai sebelah dan punya dua kaki tetapi hanya boleh bergerak searah.”


Keintelektualan yang digagaskan sepatutnya melahirkan manusia yang utuh dan seimbang, berwawasan luas, berminda terbuka, bersedia mengambil hikmah walau dari mana hatta dari musuh sekalipun. Tambahan beliau,


“Generasi serba sebelah ini sudah cukup buruk tetapi Al-Quran mengingatkan nasib buruk akan menjadi lebih buruk lagi apabila mereka menjadi buta dan pekak sama sekali. Martabat kemanusiaan akan semakin merudum sedarjat dengan haiwan ternakan (al-an’am) apabila diberi hati tidak mengerti, apabila diberi otak tidak berfikir, apabila mata tidak melihat fakta, apabila telinga tidak mendengar yang benar”.


Oleh itu, Saya berharap transformasi UTM kali ini dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga cakna dengan isu semasa dan perkembangan dunia. Wallahua’lam.


0 comments