Diskusi Buku 3 : Aku Buku dan cinta

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 1:27 PM | | 2 comments »

Baru-baru ini, saya sempat untuk berkunjung ke pesta buku bertempat di Danga city Mall, Johor Bahru. Dalam jutaan buku yang disusun rapi menurut genre dan bahasa, saya cuba untuk mencari beberapa buah buku untuk dijadikan koleksi peribadi dan hidangan buat akal supaya tidak rehat terlalu lama di waktu yang agak lapang sepanjang cuti ini.

Saya cuba mendiskusikan buku ini secara keseluruhan dari sudut pemahaman yang agak cetek dan berharap ianya dapat ditambah sekiranya terkurang dan membetulkan sekiranya ada yang tersilap.


Buku bertajuk “AKU,BUKU DAN CINTA” tulisan Dr Abdullah ‘Aidh Al Qarni yang juga merupakan Penulis buku Best Seller “LA TAHZAN” sangat menarik untuk dikongsikan. Jika sesiapa inginkan buku yang dapat memotivasikan anda untuk terus membaca, pada pandangan saya, buku ini antara bahan yang dapat memotivasikan anda untuk terus membaca.

Dr Aidh Abdullah Al Qarni telah membicarakan soal kepentingan membaca dalam kehidupan sebagai seorang manusia apatah lagi orang yang mengaku dia sebagai penggerak dakwah. Perkongsian pengalaman peribadi Dr ‘Aidh dan juga beberapa contoh tokoh-tokoh Islam berkenaan sifat cintakan ilmu dan minat membaca mereka juga turut dimuatkan di dalam buku ini bagi menaikkan semangat para pembaca untuk menjadi seperti mereka.


Baca Dan Bacalah..

Membaca membolehkan kita memperoleh ilmu dan menyelamatkan diri kita dari kebodohan. Membaca juga boleh menguatkan daya ingatan, mendewasakan pemikiran, memberikan banyak pengalaman dan pengajaran, mengungkapkan banyak rahsia dan bermacam-macam lagi. Membaca adalah kunci pengetahuan dan jalan menuju pembangunan.

Kerana amat pentingnya membaca, maka kalimat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah perintah untuk membaca yang di awali dengan Bismillah. Allah berfirman :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)” (Surah Al-Alaq: Ayat 1)

Ini menunjukkan kita adalah umat Iqra’ sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni:

“kita adalah umat iqra', tetapi mengapa kita masih enggan membaca??”

Dengan membaca, pasti pengetahuan dan wawasan akan bertambah. Selagi seseorang mengkaji warisan ilmiah dan peradaban manusia, maka akan bertambah pula wawasannya dan akalnya pun akan berkembang, khususnya apabila ia membaca buku-buku yang bermanfaat.


“Buku, Aku Cinta Kamu”

Inilah ungkapan yang digunakan oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al Qarni untuk menggambarkan betapa cintanya beliau terhadap ilmu yang terdapat dalam buku. Bingkisan pengalaman beliau yang di tuliskan dalam buku ini sangat indah dan penuh puitis untuk membangkitkan semangat para pembaca agar terus membaca dan membaca. Di bawah saya cuba kongsikan sedikit bagaimana gambaran kehidupan Dr ‘Aidh sebagai pencinta buku yang merupakan seorang yang amat kita kagumi pada hari ini.

“saya mendakapnya di atas dada, membiarkannya ia tidur di atas lengan dan merangkulnya dalam pelukan. Ia berbicara dan membuat saya senang, sedih, tertawa dan bahkan menangis. Ia menghembuskan kata-katanya ke dalam jiwa saya dan saya pun tak dapat melupakannya. Ia merupakan teman paling setia, paling dekat dan merupakan penghantar terindah. Bersamanya pula, saya lupa akan segala kesulitan, duka cita dalam hidup dan seharian yang dipenuhi kekeruhan……”

“Bersamanya juga, saya ibarat berada di taman yang rendang, kebahagiaan yang besar, kumpulan-kumpulan orang yang menyenangkan. Bersama buku, akal saya menjadi tumbuh, jiwa saya menjadi bersih, keyakinan dan kepercayaan saya bertambah..Saya tidak pernah jemu dengan ucapannya dan juga tidak letih menemaninya.”


Tetapi apa yang mengecewakan??

Berdasarkan statistik, kebiasaan membaca buku dikalangan Mahasiswa Malaysia teramat kurang dan membimbangkan. Menurut kajian Dr Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM) mengenai tabiat membaca di kalangan mahasiswa di Malaysia, rata-rata hanya membaca 12 buku dalam tiga tahun pendidikan di universiti. Ini bermakna purata bilangan yang di baca oleh Mahasiswa Malaysia setahun hanya sekitar 4 buku sahaja.

Wakil Menteri Pelajaran Noh Omar mengungkapkan, berdasarkan suatu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buku, Indonesia 94 buku, India 130buku, Thailand 56 buku dan Brunei 26 buku.

Awal membaca memanglah sukar, namun akhirnya ianya pasti akan bertukar menjadi kebahagiaan. Lihatlah tokoh-tokoh hebat pada masa dulu dan kini, mereka bukan sahaja hebat dari segi kepimpinan, malah mereka juga hebat dari segi pembacaan.”

Buat para aktivis dakwah, isi dada kita dengan ilmu kerana mana mungkin kita dapat memberi cahaya sedangkan kita juga dalam kegelapan. Saya akhiri dengan satu kata-kata mutiara yang di lampirkan bersama buku ini:

"Buku apapun pasti ada manfaatnya. Jadi janganlah memandang remeh terhadap sesuatu buku.."


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Ilmu yang bermanfaat.

Read more!

Meneladani Abu Bakar Al-Misky

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 3:22 PM | 2 comments »


Abu Bakar Al-Misky merupakan insan kreatif yang telah menggunakan kurniaan nikmat akal dengan sebaiknya demi menjaga dirinya dari kemaksiatan. Abu bakar merupakan seorang pemuda yang sentiasa wangi sepanjang hari. Sentiasa menebarkan bau wanginya ke mana sahaja dia pergi. Orang yang pernah berjumpa dengannya pasti akan dapat menikmati aroma itu.

Keadaan ini membuatkan orang disekililing menjadi hairan sehinggalah pada suatu hari ada yang mula bertanya:

"sungguh kami selalu mencium bau wangi darimu, apakah sebabnya (engkau selalu memakai wangian ini)??"

Dengan bersahaja dia menjawab:

"Demi Allah, sudah bertahun-tahun aku tidak memakai minyak wangi..."

Alangkah peliknya jawapan seperti ini. Mana mungkin wangian akan keluar sekiranya dia tidak memakai minyak wangi. Hukum adat menyatakan bahawa kalau mahu kenyang mesti makan, begitu juga dengan wangian, ianya pasti ada minyak wangi perlu disembur atau disapukan yang menyebabkan ianya berbau wangi.

Dalam kebingungan itu, Abu Bakar Al-Misky dengan bersahaja menceritakan perkara yang menyebabkan wangian itu.

"Suatu Ketika, ada seorang wanita yang cuba memperdayakanku. Dia memasukkan aku kerumahnya dan mengunci pintu-pintunya. Kemudian dia merayu, memujuk dengan pelbagai cara untuk memperdayakan aku dan menjerumuskanku..."

(bayangkan anda berada dalam situasi itu)

Abu Bakar Al-Misky seterusnya melanjutkan ceritanya.

"Aku bingung dan tertekan dengan tipu daya perempuan itu lalu aku berkata kepadanya...Aku ingin ke tandas terlebih dahulu dan meminta pembantu perempuan tersebut untuk mengirinya. Lalu Perempuan itu pun setuju."

Ketika berada di dalam tandas, Abu Bakar Al-Misky telah mengambil satu tindakan kreatif dengan melumurkan najis ke seluruh tubuhnya lalu keluar bertemu dengan perempuan tersebut.

apa agaknya tindakan anda sekiranya berada di kedudukan perempuan itu??


Tepat jawapan anda, seperti yang anda dan semua akan jangka, perempuan itu telah menghalau Abu Bakar keluar dari rumahnya. Setelah pulang ke rumah, dia telah membersihkan dirinya.

Orang yang bertanyakan hal ini tadi pasti terkejut dengan "idea gila" pemuda ini. Abu Bakar Al Misky tanpa rasa bangga meneruskan ceritanya agar ianya boleh dijadikan pengiktibaran buat para pencinta maksiat.

"Pada malam harinya, aku telah bermimpi melihat seseorang telah berkata kepadaku .

"Engkau telah melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang selainmu. Sungguh aku menjadikanmu wangi di dunia dan akhirat."


"Maka pada pagi harinya, Aku telah terbangun dengan wangian yang keluar dariku. Yang demikian itu berlanjutan sehingga sekarang."

Subhanallah, tiada yang mustahil bagi Allah untuk memberikan sesuatu kepada hambaNya yang ikhlas dalam melaksanakan ketaatan kepadaNya. Allah memuliakannya dengan anugerah yang sungguh luar biasa. Tubuh menjadi harum bak kasturi sebagai balasan kepada akhlak terpuji, menjaga ketakwaan dan mampu menjaga diri dari pujuk rayu wanita cantik yang menawarkan diri untuk di nodai.

Awalnya sakit kerana terpaksa melawan gelojak nafsu diri, dan kemudian kreatif dalam melepaskan diri dan berakhir dengan nikmat dari Rabbul Izzati. Itulah Abu Bakar Al-Misky, pemuda cerdas yang kreatif. Meluarbiasakan diri dengan cara terbaru dengan menjaga ketakwaan kepada Allah. Cuba kita tanya diri, adakah kita juga boleh menjadi sepertinya??

Sudah!! jangan fikir lagi.

Katakan sahaja YA..Aku juga boleh jadi sepertinya...


Read more!

Siapa Kak Zalikah??

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 2:05 AM | 0 comments »


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


Secara jujur saya tidak mengenali siapa Kak Zalikah Mat Zan, Mantan Pimpinan PMIUM. Tetapi hari ini, facebook saya dipenuhi dengan berita pemergian seorang mujahidah yang dikhabarkan banyak menyumbangkan dan mengorbankan masa zaman mahasiswanya untuk menggerakkan dakwah. Terdetik untuk mengenali beliau sehinggalah saya terjumpa blog peribadi kak Zalikah (http://zalikah.blogspot.com/).

Pemergiannya bertemu Allah disebabkan Penyakit Kanser yang dihadapinya setelah sekian lama. Namun saya tersentak dengan satu nukilan kata-kata yang cukup memberi keinsafan bagi orang-orang sedar dengan bait-bait indah yang dilafazkan, berikut saya letakkan dibawah untuk menjadi renungan kepada semua. Nukilan dari seorang mujahidah yang telah kembali ke Rahmatullah:

Saya nak berjuang
Saya nak pegang panji ALLAH
Saya nak jadi FrontLINE
Saya nak jadi Jiran RAsulullah saw di syurga
Setiap hari saya nak menatap wajah ALLAH

Saya mesti SIHAT,
Kaki saya ALLAH pinjamkan untuk berjalan ke jalanNYA..
Kaki saya juga boleh guna untuk sepak terajang orang yang ingkar...

Mata saya untuk melihat ALLAH..
Mata saya untuk cegah maksiat...

Tangan saya untuk memaut TALI ALLAH
Tangan saya untuk menulis dan menaip
Tangan saya boleh pukul orang jahat
Tangan saya untuk tunjuk JALAN mana boleh berjumpa ALLAH

Stamina saya mesti Utuh
Satamina saya untuk terus bekerja sampai
saya berehat macam Arwah Ustaz Fadhil
Rehat... macam Pak Ismail dan Rasulullah saw rehat...
Saya tak nak rehat kat sini.... bagilah saya rehat kat sana...
Saya tak nak kena pukul kat sana...
Saya tak nak kene timah mendidih

(Zalikah Mat Zan)

Ingatan buat para pendakwah agar cekal dan istiqamah dalam jalan dakwah sebelum Ajal menemui kita pula. Semoga Roh Kak Zalikah digolongkan dalam golongan orang-orang yang soleh dan Solehah.

Al-Fatihah


Read more!

Sudah lama tidak menulis

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:39 PM | 0 comments »

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah,Akhirnya dapat juga menulis sepatah dua untuk blog ini yang telah lama terbiar. Memang sudah agak lama meninggalkan blog ini dengan membiarkannya terus diam dan membisu. Melihat blog rakan-rakan yang lain, ternyata aku sudah jauh ketinggalan. Mungkin kerana kurangnya Ilmu untuk dikongsikan atau kerana kesibukan melayan Facebook, atau tersentak dengan kata-kata Ust Arif sewaktu beliau menyampaikan mukaddimah Kuliah hadis 40 berkenaan Imam Nawawi.

Ust Ariff menjelaskan bahawa Imam Nawawi ketika ingin menulis Kitab Hadis 40, Ulama besar ini beristikharah kepada Allah supaya diberikan petunjuk sama ada ingin meneruskan hajatnya untuk menulis atau tidak. Lantas Ust Ariff bertanya pula kepada sidang hadirin yang khusyuk mendengar,

"adakah anda para bloggers beristikharah sebelum membuat sebarang artikel untuk dipersembahkan kepada tatapan umum atau main belasah je..?"

"Adush, kan da kena sebijik dengan ustaz..aku tak sampai lagi taraf tu ust..." jawabku dalam hati. Erm, tapi itu bukan alasan untuk tidak menulis.

Dalam tempoh 'uzlah' ni, banyak juga yang difikirkan untuk diluahkan dan dikongsi dalam bentuk tulisan. "Keyword" dan idea sudah ada tapi masih belum pandai mencuri kesempatan untuk menulis.

InsyaAllah dalam masa terdekat akan bermula episod baru penulisan dalam Kembara mencari Erti Hidup...Doakan moga penulisan akan datang lebih baik dan membawa manfaat untuk semua. Sekadar tu dulu untuk diluahkan setelah sekian lama tidak menulis. Wallahua'lam

Ismail Sirajudin
UTM Skudai

Read more!

Membina Iklim yang "Soleh" Melalui kempen Say No To Bonceng

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:18 AM | 1 comments »


ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.


Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.


Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.


Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.


Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.


Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke universiti, bergaul dengan kawan tanpa ada batas antara lelaki dan perempuan, melihat pasangan-pasangan berbonceng di sana sini, dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang telah di bina dirumah tadi akan terhakis sedikit demi sedikit.


Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:


Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya (Riwayat Ahmad)


Maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.


Firman Allah: (maksudnya):


Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).


Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.


Allah Maha Agung memerintahkan sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam. Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan.


Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.


Saya cuba membicarakan tajuk ini memandang meningkatnya kerunsingan kita semua terhadap keadaan persekitaran masyarakat yang dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Inilah hasilnya apabila tanggungjawab Amar Ma‘ruf dan Nahi Mungkar tidak menguasai masyarakat. Atau jika adapun suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh.


Bahkan kadangkala suruhan kepada makruf dan pencegahan kepada mungkar berjalan atas kepentingan tertentu. Kadar kempen kepada kesedaran seperti solat, tidak lebih hebat daripada kadar kempen kepada kelalaian dan kealpaan hidup. Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.


Perkara makruf itu begitu banyak jika hendak ditegakkan. Ini termasuk menyuruh kepada solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Juga menegakkan ilmu pengetahuan, keadilan, kebajikan, kedamaian merupakan tanggungjawab Amar Makruf.


Namun biasanya, penegakan yang makruf tidaklah begitu susah sesusah usaha mencegah perkara mungkar. Maka banyak pihak seperti penceramah-penceramah TV yang sanggup mengajak kepada yang baik tetapi takut untuk mencegah yang mungkar.


Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran. Bahkan suruhan yang makruf itupun hanya dalam perkara terpilih atau lebih tertumpu kepada soal-soal kelebihan amal. Tiada keberanian menyentuh perkara-perkara pokok seperti prinsip ilmu, keadilan dan seumpamanya.


Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):


Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).


Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.


Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.


Firman Allah: (maksudnya):


Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25).


Dalam menafsirkan ayat ini Ibn Abbas berkata : Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dikalangan mereka, Nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.


Sabda Rasulullah s.a.w:


Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).


Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.


Kata al-Nawawi (meninggal 676H):


“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim)


Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.


Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti membonceng antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.


Firman Allah:


(maksudnya) Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). (Surah al-An‘am, ayat 68).


Firman Allah juga: (maksudnya):


Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).


Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:


“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini.


Marilah kita bina iklim takwa..

Read more!

AL-KISAH DI PASARAYA BILLION KELANTAN

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 12:46 PM | 1 comments »


Di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk men yam paikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.

Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka...”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka ? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?"

Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu.. dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.

Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa a yam .. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu?

Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:"perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak.. takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak”

Sekian

* Article ini dikirimkan melalui e-mail. Menarik untuk dikongsi bersama.


Wallahu ‘Alam

Read more!

Perkembangan terbaru Kempen "UTM Say No To Bonceng"

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 2:50 AM | 0 comments »


Justify Full

01 September 2009 : Keputusan undian selama sebulan yang telah dibuat di blogspot PMIUTM menunjukkan seramai 287 orang respondan daripada 315 orang bersetuju supaya UTM dijadikan sebagai kawasan Larangan bonceng antara lelaki dan wanita bukan mahram. Manakala selebihnya iaitu seramai 28 orang atau 8% daripada 315 respondan tidak bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai Zon Larangan Bonceng.

Undian tersebut dijalankan oleh PMIUTM selaku penggerak utama adalah bertujuan untuk mendapatkan respon sebagai pengukur kepada kecenderungan mahasiswa . Sejak sebulan lalu kempen ini dijalankan, pelbagai pihak telah memberi respon sama ada yang bersetuju mahupun yang tidak bersetuju. Walaupun dalam jumlah respondan yang hanya 315 orang sahaja, keputusan majoriti menunjukkan mahasiswa kebanyakannya cukup bersetuju sekiranya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng.

Dalam satu perkembangan yang lain, Pengerusi Badan bertindak UTM Zon Larangan bonceng,Saudara Ismail Bin Sirajudin telah dimaklumkan oleh Saudara Azim Fahada, Exco Kebajikan MPPUTM merangkap pengerusi Pro Mahasiswa UTM bahawa beliau telah menerima proposal daripada semua kolej di UTM berkenaan tuntutan mahasiswa kepada pihak lembaga pengarah UTM yang akan dibentangkan dalam mesyuarat kebajikan mahasiswa pada 9 September 2009 nanti.

Menariknya, kebanyakan Jawatankuasa kolej Mahasiswa (JKM) yang telah menghantar proposal mencadangkan supaya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng sebagai salah satu cadangan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif dimana pimpinan mahasiswa diperingkat kolej juga mula menunjukkan respon positif terhadap kempen ini.

Desakan demi desakan dari pelbagai pihak InsyaAllah bakal mengubah utm kepada suasana yang lebih harmoni dengan wujudnya zon larangan bonceng ini. Justeru, pihak jawatankuasa pusat "UTM Say No To Bonceng" menyeru kepada semua mahasiswa UTM agar dapat memberi penerangan sama ada melalui risalah, blog individu atau ucapan lisan agar mahasiswa UTM lebih sedar tentang pentingnya UTM dijadikan sebagai zon larangan bonceng. Sekian. MyLPM.

Ssumber: http://utmsayno2bonceng.blogspot.com

Read more!

Memori ISCO'09

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 4:35 PM | 0 comments »








Read more!

PMIUTM tubuh Jawatankuasa bertindak Cegah gejala Sosial

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:28 PM | 2 comments »


Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) mengambil langkah proaktif bagi mencegah gejala sosial dikalangan mahasiswa dengan menubuhkan Badan Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng.


Badan bertindak ini bertujuan membenteras gejala bonceng dikalangan siswa-siswi yang bukan mahram yang berleluasa sekarang.


Menurut Pengerusinya Ismail Bin Sirajudin, Badan bertindak ini akan mengumpulkan 10,000 tandatangan pelajar selain mendapatkan sokongan dari pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pensyarah-pensyarah, Pengetua-Pengetua Kolej, Dekan-dekan Fakulti, Pihak keselamatan, Pusat Islam UTM dan jika perlu akan dirujuk ke peringkat Mufti Johor bagi menjayakan penguatkuasaan ini.


Menurutnya lagi, gejala membonceng dengan bukan mahram ini memberi imej buruk kepada pelakunya sahaja malahan kepada masyarakat kampus keseluruhanya.


Kes gejala sosial agak meruncing di kampus ini sehingga menyebabkan kematian, merujuk kepada kematian seorang siswi baru-baru ini. MyLPM PMIUTM.


Sumber: http://pmiutm.blogspot.com

Read more!

UTM Zon Larangan Bonceng: Satu cadangan

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 1:14 PM | 0 comments »


Prof Dr Mohd Tajudin Ninggal dalam bukunya Transformasi Pembangunan Mahasiswa : Memperkasa jati diri , berkata bahawa:

“Pemimpin mahasiswa yang ingin dilahirkan adalah mereka yang mampu melihat sesuatu isu atau persoalan menerusi sudut pandangan yang lebih holistic (helicopter view) berbanding sudut pandangan yang kabur dan dangkal (myopic view)".

Saya sengaja memulakan kata-kata yang diungkapkan oleh yang berbahagia TNC HEPA UTM di atas agar penulisan saya lebih kritis dan konstruktif dalam mengutarakan isu dan cadangan ini.


UTM sebagai kawasan Zon Larangan bonceng

Bonceng yang dimaksudkan di sini adalah antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Satu cadangan kepada pihak pentadbiran UTM yang kini sedang menjalankan dasar baru Transformasi UTM. Saya secara peribadi amat bersetuju dengan pelan pembangunan pembudayaan Ilmu yang kini giat dijalankan, tetapi tidak salah jika cadangan pelan pembangunan moral dan akhlak ini juga turut di pertimbangkan.

Isu ini juga pernah di utarakan oleh sahabat saya Anis Wahab di dalam blog beliau (lihat blog ini). Walaupun beliau tidak menyentuh secara mendalam berkenaan isu bonceng ini tetapi perumpaan yang beliau berikan cukup menarik.

Persoalan yang ditimbulkan adalah kenapa mahasiswa yang tidak menggunakan kad metrik boleh di saman sedangkan membonceng antara lelaki dan perempuan tidak? kenapa orang yang tidak menggunakan menggunakan stiker UTM di saman sedangkan yang berpeluk-pelukan di atas motor tidak?Apakah kesalahan tidak memakai kad matrik atau menggunakan stiker utm lebih berat daripada kes bonceng ini? Sudut pandangan apakah kita menilai semua ini? Inikah yang dinamakan pembangunan holistik atau Inikah yang dinamakan "helicopter view" dalam membangunkan mahasiswa?

Kes Bonceng ini merupakan salah satu faktor penyumbang kepada gejala sosial yang berlaku di UTM. Tidakkah pihak pentadbiran ingin mengambil pengajaran di atas kematian Seorang siswi akibat melahirkan anak di dalam bilik. Kes ini tidak boleh dianggap “enteng” kerana ianya telah melibatkan nyawa dua orang manusia (mak dan anak). Langkah pencegahan dan pengawalan agar peristiwa hitam ini tidak berlaku kembali perlu disegerakan.

Gejala bonceng ini bukan sahaja memberi kesan kepada pelaku, tetapi secara tidak langsung masyarakat sekeliling yang mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan budaya ini. Sifat kebiasaan orang awam kini semamangnya mudah terdorong untuk mengikut tuntutan hawa nafsu tanpa menghiraukan pandangan agama. Amat malang sekiranya pihak pentadbiran terus berdiam diri dan berpeluk tubuh melihat Generasi mahasiswa dihancurkan oleh hawa nafsu yang tidak dikawal.

Renunglah kata-kata Saidina Umar:

"Andainya seekor kambing berjalan mencari makan dari Madinah ke Kufah dan patah kakinya dipinggir Sungai Dajlah lalu mati lantaran jalannya rosak, aku takut Allah SWT akan pertanggungjawabkan ke atas aku di Akhirat kelak."

Oleh itu, saya mencadangkan supaya UTM sebagai langkah awal untuk mengurangkan gejala sosial di UTM adalah dengan mewujudkan Zon Larangan Bonceng. InsyaAllah, di peringkat Persatuan Mahasiswa Islam UTM akan menghantar satu proposal cadangan secara rasmi kepada pihak pentadbiran untuk membantu melaksanakan agenda Pembangunan Mahasiswa dalam menjayakan Transformasi UTM secara holistik. Diharapkan cadangan ini mendapat kerjasama dari semua pihak berwajib. Wallahua'lam.


Read more!

Respon atau Membisu??

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:50 AM | 0 comments »


Intelektual adalah manusia pemikir, dunia intelektual adalah dunia idea, dialog dan wacana yang kritis, cerdas dan bebas. Namun, daya keintelektualan mahasiswa hari ini dilihat kian suram dengan tidak adanya sikap kritis para mahasiswa dalam memberi respon terhadap pelbagai persoalan kebangsaan dan kemasyarakatan yang semakin banyak. Apatah lagi untuk menawarkan jalan alternatif pemikiran dalam usaha mengatasi pelbagai masalah lokal dan global yang saat ini sangat membimbangkan dan kompleks untuk diselesaikan. Hanya untuk berpendapat sahaja, mahasiswa juga sudah tidak memiliki keberanian. Mengapa terjadi perkara sedemikian?


Mahasiswa dulunya di anggap sebagai juru bicara ummah, penggerak kepada gerakan perubahan dan menjadi “check and balance” kepada setiap yang berlaku di dalam Negara. Prof Dato’ Dr Ir Zaini Ujang dalam bukunya “Menghayati budaya Ilmu” juga ada membahaskan soal keprihatinan sosial mahasiswa. Jelas beliau, “Kejayaan seseorang mahasiswa tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. Mahasiswa cemerlang juga berperanan untuk memahami dan mengambil kira hal kemanusiaan sejagat dan kepentingan masyarakat dalam pengajian dan kehidupan mereka”


Kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan. Sebagai pemimpin, penguasa intelektual di Universiti, kita harus menyedari dan menghargai nilai intelektualisme serta bersedia mewujudkan suasana yang kondusif untuk perkembangan keintelektualan termasuk kebebasan berfikir dan bersuara serta hak berbeza pendapat dengan sesiapa sahaja termasuk Ketua Negara sendiri.


Perkara ini kita perlu fikirkan dan rangka bersama dalam mewujudkan suasana mesra intelektual sebagaimana yang ingin digagaskan oleh yang berbahagia Dato’ Naib Canselor. Dalam pengamalan demokrasi kampus juga sepatutnya membawa erti kebebasan dan keterbukaan dalam pelbagai perkara. Kita tidak mahukan generasi yang disebutkan oleh Dr Siddiq Fadzil ketika membentangkan kertas kerja Krisis Pendidikan masa kini: Cabaran membina generasi berjiwa merdeka dalam kongres Rejuvinasi Sistem Pendidikan Islam Negara. Beliau cuba menggambarkan nasib generasi muda hari ini yang “serba sebelah.”



“mempunyai dua mata tetapi hanya dibenarkan melihat sebelah, punya dua telinga tetapi hanya sebelah yang mendengar, punya dua tangan tetapi hanya boleh mencapai sebelah dan punya dua kaki tetapi hanya boleh bergerak searah.”


Keintelektualan yang digagaskan sepatutnya melahirkan manusia yang utuh dan seimbang, berwawasan luas, berminda terbuka, bersedia mengambil hikmah walau dari mana hatta dari musuh sekalipun. Tambahan beliau,


“Generasi serba sebelah ini sudah cukup buruk tetapi Al-Quran mengingatkan nasib buruk akan menjadi lebih buruk lagi apabila mereka menjadi buta dan pekak sama sekali. Martabat kemanusiaan akan semakin merudum sedarjat dengan haiwan ternakan (al-an’am) apabila diberi hati tidak mengerti, apabila diberi otak tidak berfikir, apabila mata tidak melihat fakta, apabila telinga tidak mendengar yang benar”.


Oleh itu, Saya berharap transformasi UTM kali ini dapat melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga cakna dengan isu semasa dan perkembangan dunia. Wallahua’lam.


Read more!