Penulis : Faisal Tehrani
Harga : RM 23.00
Penerbit : Ameen Kreatif

Hampir 2 tahun telah berlalu program bersama penduduk orang asli di Tanah Abang, Mersing. Peluang untuk bersama dengan orang asli (lihat sini) tidak mungkin dapat di rasai oleh semua orang. Program 6 hari yang di anjurkan pada bulan Mei tahun 2008 memberi seribu satu kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Kebetulan pada waktu itu, saya dilantik menjadi Pengarah Program untuk menguruskan segala gerak kerja bersama rakan-rakan yang lain bagi menjayakan program yang tidak pernah dijalankan sebelum ini di peringkat PMIUTM.

Tanggapan terhadap kehidupan orang asli yang pada awalnya begitu teruk mula berubah setelah sampai ke sana dan bergaul dengan orang-orang kampung. Keadaan yang sebenar tidaklah seteruk yang dijangkakan. Alhamdulillah program dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun tentatif berubah hampir 70% dari perancangan asal.

Kenangan berada di perkampungan orang asli turut dapat saya rasai apabila membaca karya tulisan Faisal Tehrani dalam Novel BAHLUT. Novel ini mengisahkan seorang anak muda orang asli dari kaum Semai bernama Bahlut yang kematian Ayah dan Ibu sejak kecil.

Latar belakang kehidupan semasa kecilnya di perkampungan orang asli yang digambarkan melalui novel ini hampir serupa dengan latar kehidupan semasa saya berkunjung ke perkampungan orang asli di Tanah Abang, Mersing. Anjing-anjing di sana ibarat kucing-kucing yang berkeliaran di sekitar rumah, kehidupan orang kampung juga banyak bergantung kepada hutan dan sungai, serta orang asli sangat pemalu dan rendah diri. Di samping itu, ada beberapa adat dan pantang larang yang perlu diikuti semasa berada di sana.

Dalam novel ini juga menceritakan tentang seorang guru bernama Zaiful yang banyak membantu dalam mengubah hidup Bahlut yang juga merupakan murid yang cukup disayanginya. Cikgu Zaiful merupakan antara watak penting novel ini. Beliau merupakan seorang guru yang mempunyai keazaman yang kuat dan sanggup untuk dihantar ke pedalaman semata-mata untuk mengubah cara berfikir dan kehidupan orang asli. Melalui cikgu Zaiful ini, Bahlut mula berhijrah ke bandar.

Cikgu Zaiful adalah antara orang yang telah memberi perubahan yang besar kepada kehidupan Bahlut. Dia telah membantu Bahlut datang ke Bandar bagi menjalani sistem persekolahan yang lebih baik. Dengan bermulanya penghijrahan Bahlut dari perkampungan orang asli ke bandar, Bahlut mula menunjuk potensi dirinya dalam acara lumba lari.

Bahlut berjaya dimasukkan ke sekolah sukan bukit jalil apabila potensinya terserlah ketika dia cuba-cuba untuk mengambil masa larian 100 meternya di trek. Jurulatih yang melihatnya begitu kagum dengan kepantasan masa lariannya. Melalui sukan lumba lari ini, Bahlut mula terkenal disebabkan prestasinya yang begitu membanggakan dalam acara-acara kejohanan yang telah disertainya. Walaupun pada mulanya, bahlut hanya bermain-main lumba lari dengan sahabatnya untuk balik ke rumah ketika berada di kampung. Namun, Bahlut tidak menyangka dalam main-mainnya, itu merupakan latihan awal sebelum dia bergelar wira dalam acara lumba lari di trek yang sebenar.

Dalam menaiki tangga-tangga untuk menjadi wira, di situ wujudnya orang-orang yang dengki dengan kejayaannya. Itulah fitrah dalam kehidupan. Dugaan dan fitnah adalah salah satu cabaran dalam menuju kejayaan. Namun, berkat kesabaran dan kecekalan yang di tunjukkan oleh Bahlut lama kelamaan desas-desus fitnah yang dilemparkan kepadanya semakin reda. Bahlut adalah seorang yang sabar dan tidak cepat melatah ketika berhadapan dengan masalah.

Selain itu, Bahlut, cikgu Zaiful, Cikgu Zalman (kawan zaiful) dan Kabut (secret admire bahlut..;)) telah dilanda satu konflik apabila Syarikat balak dengan rakus cuba menggunakan pelbagai cara untuk merampas tanah orang asli termasuk meracun sumber bekalan air penduduk kampung untuk membunuh mereka. Walaupun telah lama duduk dibandar, Bahlut masih mengikuti perkembangan kampungnya yang tengah dilanda krisis melalui perantaraan cikgu Zaiful. Babak-babak perjuangan dan keberaniaan melawan kezaliman syarikat balak diceritakan dengan menarik melalui novel ini.

Walaupun novel ini agak santai, tetapi latarnya dan isinya dipenuhi dengan fakta yang boleh memberi input tambahan kepada pembaca. Selain itu, para pembaca juga dihidangkan dengan bahasa-bahasa harian orang asli kaum semai yang boleh digunakan sebagai modal apabila anda bertemu dengan orang asli nanti..:).

Ini adalah novel yang kelima tulisan Faisal Tehrani yang sempat saya khatamkan. Novel Bahlut antara novel yang telah banyak kali saya belek dan mahu beli, tapi baru beberapa minggu lepas saya dapat miliki. Novel Faisal Tehrani yang pernah saya baca antara Tuhan Manusia, Tuhan Mula berbicara, 1511 [KOMBAT], Bedar Sukma Bisu, dan yang terbaru BAHLUT. Pada pandangan saya, novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani adalah antara novel terbaik yang pernah saya baca berbanding novel-novel lain. Wallahua'lam.


Read more!

Berbicara bersama Imam Al-Ghazali

Posted by Ismail Sirajudin | 11:12 AM | , , | 0 comments »




Petikan Muqaddimah daripada kitab Bidayatul Hidayah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali

"Katakanlah wahai Muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka. Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik". (Surah Al-Kahfi : Ayat 103-104)

Syaitan sangat pandai mengajar kita akan kelebihan ilmu dan darjat para ulama dan ia mengajar engkau beberapa kelebihan mencari ilmu yang telah disebutkan di dalam hadis dan juga perkataan para ulama, sedangkan syaitan dengan sengaja melupakan kita daripada sabdaan Rasulullah s.a.w yang ertinya:

"Siapa yang bertambah ilmunya sedangkan hidayahnya (amalannya) tidak bertambah, maka ia hanya bertambah jauh dari rahmat Allah."

Dan syaitan juga melupakan kita daripada sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang yang paling dahsyat siksaannya pada hari kiamat nanti ialah orang yang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya"

Padahal Rasulullah s.a.w selalu berdoa serta mengajarkan kepada umatnya untuk selalu meminta:

"Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidah khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan)."

Kita juga dilupakan dengan kisah perjalanan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang mana Rasulullah telah bersabda :

" Aku melalui pada malam aku di israkkan dengan kaum yang dipotong lidah mereka dengan gunting daripada api. Maka aku bertanya, Siapakah kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang yang suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi kami tidak melakukan dan kami suka melarang orang lain meninggalkan kejahatan tetapi kami mengerjakannya."


Nota:

*Kitab Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) adalah karangan Imam Al-Ghazali r.a. Melalui kitab ini, kita dapat merasai bahawa seolah-olah Imam Al-Ghazali sedang berbicara dengan anak muridnya dari hati ke hati, dari hati nurani seorang murabbi.

*Dalam kitab ini juga Imam Al-Ghazali menggariskan amalan-amalan harian yang kita mesti lakukan setiap hari dan adab-adab untuk melaksanakan amal ibadat agar ianya dapat dilakukan dengan lebih baik dan penuh erti serta memberi kesan yang mendalam.

*Kitab ini juga menunjukkan kepada kita jalan yang mesti diikuti supaya kita dapat meninggalkan segala dosa dan maksiat sama ada secara zahir atau batin.

*Seterusnya beliau juga menyentuh berkenaan adab-adab pergaulan seseorang dengan Allah sebagai Tuhan sekelian alam dan dengan semua lapisan makhluk.

*Bagi saya, buku ini cukup bermanfaat untuk dijadikan sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian. Walaupun harga bagi buku ini hanyalah RM10 sahaja, namun kandungan ilmu yang terdapat di dalam kitab ini sangat tidak ternilai harganya.

Jadi, apa tunggu lagi..jom baca dan jom beramal!!..


Read more!


Ketika sekolah rendah dulu (Tahun 1992-1998), seorang yang sangat rapat dengan saya sering dibandingkan kecemerlangan akademiknya dengan tahap akademik saya. Walaupun umurnya 3 tahun lebih muda, tetapi ia sering diperlekehkan oleh orang lain. Tahap akademik saya pada ketika itu tidaklah seberapa namun boleh dikategorikan sebagai baik menurut pandangan "orang" pada tahun tersebut.

Perlekehan itu juga turut dirasai oleh kedua ibu bapanya pada ketika itu. Apabila sempat untuk berjalan bersama menaiki kenderaan milik mereka yang digunakan untuk mencari sesuap nasi, ibunya sering meluahkan rasa :

"apa la jadi dengan anak makcik sorang tu mail, setiap tahun pelajarannya merosot..makcik pun ndak tahu sudah macam mana mau buat"...(versi sabah)

Saya yang ketika itu hanya murid sekolah rendah hanya mampu mendengar dan bersimpati. Kadang-kadang cuba membantu sekadar yang termampu. Namun, saya mengakui dia amat lemah dalam pelajaran khususnya dalam matematik. Kelas tambahan tidak menjadi pilihan kerana pada waktu itu, krisis kewangan keluarga beliau amat tenat.

Kemorosotan pelajarannya itu "istiqamah" sehingga ke sekolah menengah. Pada waktu itu, saya telah berpisah sekejap kerana terpaksa untuk tinggal di asrama. Sewaktu tinggal di asrama sedikit sebanyak telah memberi jawapan kepada situasi yang saya ceritakan di atas.

Di asrama, saya diberi peluang untuk berkawan dengan orang "TEORI" dan orang "PRAKTIK". Memandangkan saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik, terdapat 2 aliran yang di ajar di sekolah tersebut iaitu aliran Vokasional dan Teknik.

Aliran Vokasional lebih kepada pembelajaran secara teknikal dan praktikal untuk melahirkan tenaga mahir manakala aliran Teknik lebih kepada teori-teori dan sedikit kerja lapangan. Saya tertarik untuk berdamping dengan kawan-kawan yang berada di aliran vokasional. Ternyata ada sebahagian daripada mereka mempunyai keputusan yang kurang memberangsangkan dalam subjek matematik dan sains tetapi cemerlang dalam hal-hal berkaitan memasang enjin kereta, pembinaan tembok bangunan, kimpalan, seni bina, rekaan fesyen, bakeri dan lain-lain yang juga di ajar dalam silibus pelajar bagi yang mengambil aliran Vokasional. Dan mereka-mereka ini sebahagiannya telah berjaya dalam bidang kerjaya yang mereka ceburi.

Saya juga bertemu dengan orang seperti ini ketika saya menjalankan latihan praktikal di syarikat yang menyelesaikan masalah ketidak berhasilan air (Non Revenue Water) di sekitar kawasan Tawau, Sabah. Hanya dengan berbekalkan sijil SPM, dia mampu untuk mengajar seorang engineer yang sudah 4 tahun belajar di Universiti. Saya menganggap mereka-mereka ini adalah manusia PRAKTIS.

Nah.. "Allah tidak menciptakan manusia itu BODOH tetapi Allah menciptakan manusia dengan kebijaksaan yang berbeza."

Guru fizik mengajar kita, objek berbentuk torpedo adalah untuk terbang dan meluncur. Manakala orang-orang tua kata :

" yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek"

Itulah Law of Nature yang tidak berganti dan tidak berubah. Setiap yang diciptakan pasti ada fungsi dan peranan masing-masing. Maha suci Allah yang menciptakan.

Dan hari ini, orang yang saya ceritakan di atas bukan lagi orang yang diperlekehkan seperti dahulu. Sekarang, ramai orang yang memerlukan khidmat dan bakti beliau untuk membuat "wiring" di rumah mereka dan membaiki kerosakan alat-alat elektrik. Kini, keluhan ibunya terhadap situasi yang menimpa dulu, sudah kurang kedengaran.

Jadi, janganlah menilai seseorang terlalu awal berdasarkan keputusan akademiknya semata-mata. Mungkin hari ini kita adalah juara dalam akademik tetapi suatu hari nanti kita tidak tahu, "DIA" itu akan menjadi "SIAPA"?

Mungkin pada masa itu, kita sudah tertunduk malu. Orang yang diperkecilkan suatu masa dahulu telah berdiri satu atau lebih anak tangga dari kita. apa lagi yang hendak di kata?

Kalau lihat yang di bawah lemah, bukan celaan sebagai hadiah. Namun, berilah dorongan dan contoh terbaik kepadanya sebagai mau'izzah hasanah. Moga hidupnya hari demi hari kian berubah ke arah yang lebih "cerah".

Wallahua'lam.


Read more!

"Manusia Buku"

Posted by Ismail Sirajudin | 6:22 PM | , | 0 comments »

Saya sempat berkongsi info bersama salah seorang teman Facebook yang mana merupakan "penagih" buku tegar selama 30 tahun lebih. Beliau juga sempat memberikan nasihat dan info yang menarik berkenaan tentang buku yang saya tidak tidak pernah temui sebelum ini. Oleh itu, saya terasa ingin berkongsi dengan semua pembaca. Moga makin teruja untuk terus membaca.


Ada beberapa jenis "MANUSIA BUKU" antaranya adalah manusia 'bibliophile' dan 'bibliomania'? Dari sebuah buku, saya mendapat tahu bahawa seorang bibliomania (gila buku) yg bernama Boulard ( seorang pakar perundangan Perancis yg hidup pada abad ke-18) begitu bernafsu membeli buku sehingga rumahnya tidak cukup ruang untuk menyimpan buku-buku, bahkan beliau membeli enam buah rumah lagi untuk tujuan menyimpan buku-bukunya itu. Sepanjang hidupnya, Boulard telah memiliki antara 600 ribu hingga 800 ribu jilid buku. Walaupun Boulard tidak membaca buku yg dibeli, namun dia lebih berbangga menyimpan buku daripada menyimpan barang-barang yg tidak befaedah. Itulah sang bibliomania,hanya suka mempunyai koleksi buku sebanyak-banyaknya namun kurang membacanya.



Seterusnya saya akan memperkatakan tentang manusia yg 'bibliophile.' Seorang bibliofil merupakan manusia yg banyak membaca dan membeli buku. Richard Heber misalnya, seorang yang berbangsa Inggeris yang hidup pada abad ke-19 mempunyai koleksi buku sebanyak 200 ribu hingga 300 ribu buah. Dia terpaksa membeli lapan buah rumah untuk menempatkan buku-bukunya itu. Dua di London dan enam buah yg lain di England dan Eropah. Cuma bezanya dengan Boulard, Heber selalu membaca, bahkan sampai akhir hayatnya. Nah, itulah dia citra seorang manusia yg 'bibliophile.' Pada hemat saya, ramai di antara kita yg termasuk dlm kategori ini. Saya masih malu untuk mengaku untuk tergolong dalam golongan ini. Anda bagaimana?



Jenis citra “manusia buku” yang berikutnya ialah 'bibliocast. Orang jenis ini semacam mempunyai masalah penderitaan jiwa. Seorang bibliokas itu, keinginannya hanya menghancurkan buku. Contohnya, seseorang datang ke library atau meminjam buku kawannya, lalu mengoyak atau merosakkan halaman yang menarik, sama ada isi atau gambarnya. Awas! Jika berlaku demikian, dia adalah seorang bibliokas, yakni penghancur buku. Suatu ketika dulu, Mary Shelley;seorang yg terkenal ketika itu dengan buku karangannya yg berjudul Frankenstein; sering mengoyak halaman kosong pada awal atau akhir buku, dan membuat kapal kertas daripadanya. Charles Darwin pula membelah buku tebal menjadi dua bahagian agar mudah baginya untuk membawa ke mana-mana sahaja. Akhir sekali, bibliokas yg parah biasanya penguasa yang terlalu percaya pada kekuatan buku, dan memerintahkan dibakar buku-buku yg tidak disukai atau yg mencabar pemerintahannya. Peliknya manusia, macam ni pun ada ke?


Suatu penyakit jiwa yg lebih aneh lagi adalah 'bibliophagy.' Sang bibliophagy merupakan manusia yang memakan buku. Antara contoh kelakuan manusia jenis ini ialah, membakar buku pelajaran, abunya dicampur ke dalam kopi lalu diminum dengan harapan isi buku itu terus menuju ke otak. Sejarah juga mencatatkan tentang seorang penulis dari Skandinavia yang cuba mengelak hukuman pancung, telah berpura-pura gila dengan memakan bukunya yg direbus dalam air daging. Begitu juga dengan Isac Volmer yg juga memakan bukunya tanpa dimasak terlebih dahulu. Manakala Theodore Rinking, yg hidup pada abad ke-17, menerima tawaran memakan buku kontroversialnya, di mana beliau telah memesan sos tomato, khusus untuk tujuan tersebut agar dibebaskan dari penjara. Macam-macam citra manusia yg pernah wujud. Apakah sekarang ini, masih ada manusia jenis bibliofagi? Selepas ini, ada lagi kisah yg lebih hebat. Releks dulu beb. Harap bertenang…=)

Nah! 'biblionarcissist' gemarkan koleksi buku: ensiklopedia yang lengkap dengan almari khusus buatnya, dan tujuannya hanya untuk berlagak dan bermegah-megahan. Namun begitu, kita harus ingat pesanan Boulard bahawa menyimpan buku lebih baik daripada menyimpan barang-barang lain.

Sahabat-sahabat sebagai pembaca termasuk golongan atau kelompok yg mana? Apa yang jelas biblioholisme/bibliophilism adalah kecanduan yg sebaik-baiknya. Kecanduan bagi Lord Thomas Babington Macaulay ialah beliau suka membaca buku sambil berjalan kaki, tanpa mempedulikan pejalan kaki yang ramai di kota London. Macaulay mampu berjalan sambil membaca lebih cepat daripada orang lain. Kecanduan bagi Thomas Hearne pula ialah kebiasaannya membaca sambil berjalan pada waktu petang. Oleh itu beliau beberapa kali terjaga daripada keasyikan membaca tatkala rembang senja mulai kelihatan. Akhirnya barulah beliau menyedari bahawa dirinya telah tersesat jalan. Ya, namun begitu sekali lagi, bahawa biblioholisme @ bibliofilisme tidak pernah menyesatkan orang kerana seorang "pencandu buku" akan terus hidup bersama buku-bukunya, sama ada dia bibliomania atau bibliofil.

I want to be bibliophile! And, I believe you too. Thank you very much for your time. I will continue with some more nice story sooner.

Nak tahu apa itu 'bibliotherapy? 'Bibliocriminal'? Nak dengar tentang manusia yg mempunyai terlalu banyak buku sehingga 400 ratus ekor unta digunakan untuk mengangkut buku-bukunya?

Have a nice day ahead friends..Moga Allah merahmati anda semua.

Read more!

Mahu bertatih semula

Posted by Ismail Sirajudin | 11:43 PM | | 0 comments »

Saya cuba untuk merungkai masalah yang berlaku dalam diri. Ops silap, ini bukan masalah tapi situasi yang berlaku dalam diri saya. Bak kata Puan Ainon, menukar perkataan masalah kepada situasi akan membuatkan orang lain akan lebih mudah dekat dengan kita berbanding jika kita menggunakan perkataan masalah untuk memulakan sesuatu perbicaraan.

Jadi, situasi yang saya hadapi simple iaitu kesukaran untuk istiqamah dalam menulis. Apabila saya membuka perbincangan di Facebook tentang situasi yang saya hadapi, maka beberapa orang sahabat yang aktif dalam dunia blogger mula memberi respon, pandangan dan lontaran idea.

Delete akaun Facebook!!

Respon awal yang saya anggap sebagai kritikan positif apabila saya cuba untuk mendapatkan pandangan dari sahabat blogger melalui facebook. Jika boleh diibaratkan sebagai peluru, ia "ngam-ngam" tertembak di kepala. Saya tidak dapat menafikan kritikan ini kerana sepanjang facebook hadir dalam hidup, blog ini bukan lagi menjadi tempat persinggahan "wajib'"bagi saya dan begitu juga beberapa rakan lain yang saya dapat perhatikan.

"Candu" facebook membuatkan saya lebih "ketagih" untuk berkongsi ilmu,pendapat, dan catatan peribadi berbanding blog "Kembara Mencari Erti Hidup" ini. Apa nak jadi da??..=). Mahu tidak mahu, satu lengkuk baru perubahan baru dalam diri perlu di lakar.

"Banyak itu bermula dengan sesuatu yang sedikit"

InsyaAllah, saya cuba untuk bertatih semula dalam dunia blogger setelah sekian lama menyepi. Blog ini bukan famous jika ingin dibandingkan dengan sahabat-sahabat lain. Blog ini hanyalah sebagai latihan untuk saya menulis dan berkongsi rasa, pendapat dan sedikit ilmu yang sangat cetek untuk ditatap oleh para pembaca.

Saya terkesan dengan kata Za'ba, salah seorang tokoh yang terkenal :

"Kekayaan Saudagar pada pundi-pundi emasnya, manakala kekayaan Pendeta pada keping-keping kertasnya."

Saya bukanlah manusia berilmu, jauh sekali untuk menjadi pendeta. Namun usaha ke arah itu akan cuba dilakukan. Moga catatan dalam blog ini dapat dijadikan kepingan "kertas" yang berguna kepada semua.

Saya juga amat berharap sahabat yang dahulunya aktif menulis dapat kembali "mengasah" pena agar bakat yang ada tidak di sia-siakan begitu sahaja.

Bak kata Pena Pemuda : "Hanya pemuda teguh yang kenal pena sebagai senjata"

Alhamdulillah, sedar tidak sedar, saya sempat menyiapkan dua catatan peribadi untuk mengisi kekosongan ruangan blog ini. Doakan saya Istiqamah.

Kata Zulhilmey : Menulis dengan "RASA" dan bukan hanya kerana "FAKTA"


*Nota saya: Syukran kepada semua yang memberikan pandangan dan nasihat.


Read more!

Menulis untuk apa?

Posted by Ismail Sirajudin | 5:05 PM | | 4 comments »


Saya masih mencari identiti tentang penulisan yang ingin dikongsi melalui blog ini. Mungkin sebab itu sampai sekarang masih belum bertemu kepada genre yang di minati untuk di kongsi bersama pembaca. Kata Orang:

"Menulis biar punya makna dan tujuan" bukan pula semata-mata tulisan bak budak ingusan.

Sebab itu, saya tertarik dengan beberapa blog rakan yang sering saya ikuti perkembangan tulisan mereka seperti Zulhilmey (kembarasanghamba.com) yang mempunyai lenggok bahasa yang menarik dan tulisan yang penuh dengan pengajaran, Hafizul Hilmi (hafizhilmi89.blogspot.com) yang mempunyai gaya penulisan yang unik dan kritis terhadap isu, Fazrena Kamal (mutiarabernilai2.blogspot.com) dengan gaya penulisan yang menyentuh jiwa dan beberapa rakan lain yang tidak saya nyatakan di sini. Begitu juga dengan adik Faiz Jamaluddin (masterfaiz.blogspot.com) yang istiqamah dalam penulisan. Walaupun saya tidak setuju beberapa perkara dalam tulisan beliau tapi saya masih setia sebagai "follower".

‘But don't living up to other people’s standards’.

Setiap orang mempunyai kemampuan yang berbeza. Saya juga perlu belajar-belajar dari "sifu" di atas bagi meningkatkan kemahiran menulis. Cuma ibrah dari kata-kata hikmah perlu di ambil pengajaran:

"Berhentilah untuk menjadi orang yang sempurna, sesempurna orang lain yang anda lihat di mata."

Standard hidup mahupun standard penulisan perlu ditentukan oleh diri saya sendiri dan bukan pula "Struggle" untuk mencapai standard seperti orang lain. Tapi tidak di nafikan, kadangkala kita perlu mengkaji, bertanya dan berbincang dengan orang yang lebih mahir.

This is my life!!!

Jadi saya mahu menulis untuk apa? Masih belum terjawab. Ada cadangan?..(.^_^.)


Read more!

Mahasiswa Abad 21

Posted by Ismail Sirajudin | 11:18 PM | | 1 comments »


Mahasiswa abad 21 merupakan himpunan kertas kerja yang di bentangkan oleh beberapa orang ahli akademik dan ilmuan tanah air yang terkenal. Gabungan pemikiran dan penulisan yang terkandung di dalam buku ini amat sesuai untuk dijadikan santapan minda bagi para Mahasiswa untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta memupuk budaya membaca dan semangat untuk terus menimba ilmu tanpa jemu.


Ketika Universiti Malaya sebagai universiti pertama yang mula-mula ditubuhkan, Suruhanjaya Carr Saunders yang bertanggungjawab membentuk universiti itu menyatakan:

"...it is not enough to arm graduates with the ability to exercise high professional skill, it is also the aim of a university education to enlarge the sphere of interest to sharpen sensibility, to quicken perceptivity adn to deepen sympathy"

Ini selaras dengan apa yang cuba di impikan oleh yang berbahagia Naib Canselor UTM dalam bukunya Mengangkasa Pengajian Tinggi. Dato' Naib Canselor dalam ulasannya ketika membincangkan soal tranformasi diri ahli akademik menekankan bahawa :

"Transformasi tidak seharusnya hanya terhad kepada soal 'Kerjaya' melibatkan syarat kelayakan akademik, pangkat, sasaran kerja, bahkan perlu dicernakan dalam bentuk aspirasi, nilai, sikap, komitmen, cara hidup dan sumbangan dalam bentuk magnum opus.."

Dalam satu kertas kerja disediakan Prof Emiritus Dato' Khoo Kay Kim berkenaan pandangan beliau terhadap Mahasiswa dulu dan Kini, beliau membuat kesimpulan bahawa mahasiswa sekarang perlu lebih banyak dibimbing berbanding mahasiswa dulu yang lebih pro aktif dan tidak dinafikan juga, mahasiswa dulu "lebih nakal" tetapi mereka mampu menjaga diri mereka sendiri.

Ini mungkin disebabkan sistem pendidikan IPT yang diamalkan sekarang cenderung kepada pendapat bahawa Mahasiswa mesti "diajar", berbeza dengan mahasiswa dahulu yang lebih menekankan konsep "mendidik". Mahasiswa dulu lebih bebas dalam menjalankan aktiviti tanpa campur tangan pihak universiti tetapi pada masa kini ruang itu dilihat semakin sempit dengan pelbagai prosedur yang ketat. Mahasiswa dulu juga dilihat begitu vokal dalam memberikan pandangan kini dilihat semakin lesu dan hilang taringnya. Isu yang dibawa juga lebih bersifat "kulit" dan tidak mendasar.

Saya ingin menyentuh sedikit Isu semasa yang berlaku di UTM berkenaan sekatan yang dilakukan terhadap mahasiswa UTM baru-baru ini apabila blog rasmi Pro Mahasiswa disekat daripada dikunjungi oleh mahasiswa. Kita dapat gambarkan sekatan terhadap Pro Mahasiswa ini ibarat ketakutan terhadap"air pasang yang apabila dilepaskan boleh menghasilkan tenaga yang besar." Manakala berlaku sebaliknya apabila "air cetek yang kurang memberi tenaga tetap dibiarkan terus mengalir". Mungkin saya agak berfalsafah tetapi tidak mengapa, anda cuba faham-fahamkan.

Disini, saya ingin mengajak para pembaca khususnya pihak pentadbiran Universiti kepada satu tajuk yang mungkin kita terlepas pandang dalam agenda pembangunan Mahasiswa pada hari ini.

Penghakupayaan Mahasiswa atau "Student Empowerment"

Definisi Penghakupayaan:

“Membolehkan dan mendapatkan mahasiswa/masyarakat sivil untuk memahami dan bertindak atas semua isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya”.

Dalam salah satu kertas kerja yang ditulis oleh Dato' Saifuddin Abdullah ,Timbalan Menteri Pengajian tinggi, yang dikumpulkan bersama dalam buku Mahasiswa Abad 21 ini telah mencoretkan pandangan beliau berkenaan kerangka baru gerakan Mahasiswa. Sebahagian perbahasan berkenaan tulisan beliau juga telah diabadikan dalam buku beliau iaitu "Kalau Saya Mahasiswa".

Umumnya, apabila membincangkan gerakan mahasiswa, akan terjumpa beberapa ungkapan yang sinonim dengannya, seperti: “kumpulan pendesak (pressure group)”, “watch dog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “student revolt”, ”student resistance”, “student power”, “bersama rakyat” dan sebagainya. Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men” dan bermacam-macam lagi.

Kita kembali kepada denifisi diatas dan cuba teliti betapa mahasiswa seharusnya diberi kebebasan untuk bersuara tanpa perlu disekat. Ini kerana tempoh pengajian 3 hingga 4 tahun adalah tempoh untuk mahasiswa belajar disamping membina prinsip dalam diri. Majoriti mahasiswa tidak mampu berfikir untuk diri sendiri atau untuk negara, lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk menjadi pengikut dasar dan sebagai peserta program atau pembuat program sahaja.

Cara-cara tradisional yang “dari atas ke bawah”, “memaksa ketaatan”, “mengekalkan conformity” dan “menghukum apabila silap” perlu DITAMATKAN. Kerajaan, universiti dan golongan dewasa perlu membimbing, menyokong dan menjadi teladan. Masyarakat sivil jangan lagi diperbodohkan. Mahasiswa jangan lagi diperbudakkan. Jelas Saifuddin Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi.

Justeru, amat tidak relevan sekiranya kita terus mengongkong dan menyekat mahasiswa dalam pada masa yang sama gagasan Budaya Ilmu cuba diwujudkan. Kita perlu faham bahawa kritikan itu tidak semestinya membenci, bersetuju tidak semestinya menyokong dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Budaya syaja'ah iaitu “Mengiayakan yang benar dan menidakkan yang bukan” dalam kerangka membina dan menyuburkan semula gerakan mahasiswa perlu di hidupkan. Inilah yang dinamai syaja’ah. Iaitu berani kerana benar dan takut kerana salah. Prinsip dan perangai yang sihat ini sewajarnya dipegang utuh, dijiwai dan dibudayakan oleh generasi muda amnya dan mahasiswa khususnya ke arah meluruskan ufuk minda dan sekaligus mengangkat martabat gerakan mahasiswa itu sendiri. Wallahua'lam.


Read more!

Diskusi Buku 3 : Aku Buku dan cinta

Posted by Ismail Sirajudin | 1:27 PM | | 2 comments »

Baru-baru ini, saya sempat untuk berkunjung ke pesta buku bertempat di Danga city Mall, Johor Bahru. Dalam jutaan buku yang disusun rapi menurut genre dan bahasa, saya cuba untuk mencari beberapa buah buku untuk dijadikan koleksi peribadi dan hidangan buat akal supaya tidak rehat terlalu lama di waktu yang agak lapang sepanjang cuti ini.

Saya cuba mendiskusikan buku ini secara keseluruhan dari sudut pemahaman yang agak cetek dan berharap ianya dapat ditambah sekiranya terkurang dan membetulkan sekiranya ada yang tersilap.


Buku bertajuk “AKU,BUKU DAN CINTA” tulisan Dr Abdullah ‘Aidh Al Qarni yang juga merupakan Penulis buku Best Seller “LA TAHZAN” sangat menarik untuk dikongsikan. Jika sesiapa inginkan buku yang dapat memotivasikan anda untuk terus membaca, pada pandangan saya, buku ini antara bahan yang dapat memotivasikan anda untuk terus membaca.

Dr Aidh Abdullah Al Qarni telah membicarakan soal kepentingan membaca dalam kehidupan sebagai seorang manusia apatah lagi orang yang mengaku dia sebagai penggerak dakwah. Perkongsian pengalaman peribadi Dr ‘Aidh dan juga beberapa contoh tokoh-tokoh Islam berkenaan sifat cintakan ilmu dan minat membaca mereka juga turut dimuatkan di dalam buku ini bagi menaikkan semangat para pembaca untuk menjadi seperti mereka.


Baca Dan Bacalah..

Membaca membolehkan kita memperoleh ilmu dan menyelamatkan diri kita dari kebodohan. Membaca juga boleh menguatkan daya ingatan, mendewasakan pemikiran, memberikan banyak pengalaman dan pengajaran, mengungkapkan banyak rahsia dan bermacam-macam lagi. Membaca adalah kunci pengetahuan dan jalan menuju pembangunan.

Kerana amat pentingnya membaca, maka kalimat pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah perintah untuk membaca yang di awali dengan Bismillah. Allah berfirman :

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)” (Surah Al-Alaq: Ayat 1)

Ini menunjukkan kita adalah umat Iqra’ sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al-Qarni:

“kita adalah umat iqra', tetapi mengapa kita masih enggan membaca??”

Dengan membaca, pasti pengetahuan dan wawasan akan bertambah. Selagi seseorang mengkaji warisan ilmiah dan peradaban manusia, maka akan bertambah pula wawasannya dan akalnya pun akan berkembang, khususnya apabila ia membaca buku-buku yang bermanfaat.


“Buku, Aku Cinta Kamu”

Inilah ungkapan yang digunakan oleh Dr ‘Aidh Abdullah Al Qarni untuk menggambarkan betapa cintanya beliau terhadap ilmu yang terdapat dalam buku. Bingkisan pengalaman beliau yang di tuliskan dalam buku ini sangat indah dan penuh puitis untuk membangkitkan semangat para pembaca agar terus membaca dan membaca. Di bawah saya cuba kongsikan sedikit bagaimana gambaran kehidupan Dr ‘Aidh sebagai pencinta buku yang merupakan seorang yang amat kita kagumi pada hari ini.

“saya mendakapnya di atas dada, membiarkannya ia tidur di atas lengan dan merangkulnya dalam pelukan. Ia berbicara dan membuat saya senang, sedih, tertawa dan bahkan menangis. Ia menghembuskan kata-katanya ke dalam jiwa saya dan saya pun tak dapat melupakannya. Ia merupakan teman paling setia, paling dekat dan merupakan penghantar terindah. Bersamanya pula, saya lupa akan segala kesulitan, duka cita dalam hidup dan seharian yang dipenuhi kekeruhan……”

“Bersamanya juga, saya ibarat berada di taman yang rendang, kebahagiaan yang besar, kumpulan-kumpulan orang yang menyenangkan. Bersama buku, akal saya menjadi tumbuh, jiwa saya menjadi bersih, keyakinan dan kepercayaan saya bertambah..Saya tidak pernah jemu dengan ucapannya dan juga tidak letih menemaninya.”


Tetapi apa yang mengecewakan??

Berdasarkan statistik, kebiasaan membaca buku dikalangan Mahasiswa Malaysia teramat kurang dan membimbangkan. Menurut kajian Dr Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM) mengenai tabiat membaca di kalangan mahasiswa di Malaysia, rata-rata hanya membaca 12 buku dalam tiga tahun pendidikan di universiti. Ini bermakna purata bilangan yang di baca oleh Mahasiswa Malaysia setahun hanya sekitar 4 buku sahaja.

Wakil Menteri Pelajaran Noh Omar mengungkapkan, berdasarkan suatu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buku, Indonesia 94 buku, India 130buku, Thailand 56 buku dan Brunei 26 buku.

Awal membaca memanglah sukar, namun akhirnya ianya pasti akan bertukar menjadi kebahagiaan. Lihatlah tokoh-tokoh hebat pada masa dulu dan kini, mereka bukan sahaja hebat dari segi kepimpinan, malah mereka juga hebat dari segi pembacaan.”

Buat para aktivis dakwah, isi dada kita dengan ilmu kerana mana mungkin kita dapat memberi cahaya sedangkan kita juga dalam kegelapan. Saya akhiri dengan satu kata-kata mutiara yang di lampirkan bersama buku ini:

"Buku apapun pasti ada manfaatnya. Jadi janganlah memandang remeh terhadap sesuatu buku.."


Ya Allah, kurniakanlah kepada kami Ilmu yang bermanfaat.

Read more!