Mahasiswa Abad 21

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 11:18 PM | | 1 comments »


Mahasiswa abad 21 merupakan himpunan kertas kerja yang di bentangkan oleh beberapa orang ahli akademik dan ilmuan tanah air yang terkenal. Gabungan pemikiran dan penulisan yang terkandung di dalam buku ini amat sesuai untuk dijadikan santapan minda bagi para Mahasiswa untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta memupuk budaya membaca dan semangat untuk terus menimba ilmu tanpa jemu.


Ketika Universiti Malaya sebagai universiti pertama yang mula-mula ditubuhkan, Suruhanjaya Carr Saunders yang bertanggungjawab membentuk universiti itu menyatakan:

"...it is not enough to arm graduates with the ability to exercise high professional skill, it is also the aim of a university education to enlarge the sphere of interest to sharpen sensibility, to quicken perceptivity adn to deepen sympathy"

Ini selaras dengan apa yang cuba di impikan oleh yang berbahagia Naib Canselor UTM dalam bukunya Mengangkasa Pengajian Tinggi. Dato' Naib Canselor dalam ulasannya ketika membincangkan soal tranformasi diri ahli akademik menekankan bahawa :

"Transformasi tidak seharusnya hanya terhad kepada soal 'Kerjaya' melibatkan syarat kelayakan akademik, pangkat, sasaran kerja, bahkan perlu dicernakan dalam bentuk aspirasi, nilai, sikap, komitmen, cara hidup dan sumbangan dalam bentuk magnum opus.."

Dalam satu kertas kerja disediakan Prof Emiritus Dato' Khoo Kay Kim berkenaan pandangan beliau terhadap Mahasiswa dulu dan Kini, beliau membuat kesimpulan bahawa mahasiswa sekarang perlu lebih banyak dibimbing berbanding mahasiswa dulu yang lebih pro aktif dan tidak dinafikan juga, mahasiswa dulu "lebih nakal" tetapi mereka mampu menjaga diri mereka sendiri.

Ini mungkin disebabkan sistem pendidikan IPT yang diamalkan sekarang cenderung kepada pendapat bahawa Mahasiswa mesti "diajar", berbeza dengan mahasiswa dahulu yang lebih menekankan konsep "mendidik". Mahasiswa dulu lebih bebas dalam menjalankan aktiviti tanpa campur tangan pihak universiti tetapi pada masa kini ruang itu dilihat semakin sempit dengan pelbagai prosedur yang ketat. Mahasiswa dulu juga dilihat begitu vokal dalam memberikan pandangan kini dilihat semakin lesu dan hilang taringnya. Isu yang dibawa juga lebih bersifat "kulit" dan tidak mendasar.

Saya ingin menyentuh sedikit Isu semasa yang berlaku di UTM berkenaan sekatan yang dilakukan terhadap mahasiswa UTM baru-baru ini apabila blog rasmi Pro Mahasiswa disekat daripada dikunjungi oleh mahasiswa. Kita dapat gambarkan sekatan terhadap Pro Mahasiswa ini ibarat ketakutan terhadap"air pasang yang apabila dilepaskan boleh menghasilkan tenaga yang besar." Manakala berlaku sebaliknya apabila "air cetek yang kurang memberi tenaga tetap dibiarkan terus mengalir". Mungkin saya agak berfalsafah tetapi tidak mengapa, anda cuba faham-fahamkan.

Disini, saya ingin mengajak para pembaca khususnya pihak pentadbiran Universiti kepada satu tajuk yang mungkin kita terlepas pandang dalam agenda pembangunan Mahasiswa pada hari ini.

Penghakupayaan Mahasiswa atau "Student Empowerment"

Definisi Penghakupayaan:

“Membolehkan dan mendapatkan mahasiswa/masyarakat sivil untuk memahami dan bertindak atas semua isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya”.

Dalam salah satu kertas kerja yang ditulis oleh Dato' Saifuddin Abdullah ,Timbalan Menteri Pengajian tinggi, yang dikumpulkan bersama dalam buku Mahasiswa Abad 21 ini telah mencoretkan pandangan beliau berkenaan kerangka baru gerakan Mahasiswa. Sebahagian perbahasan berkenaan tulisan beliau juga telah diabadikan dalam buku beliau iaitu "Kalau Saya Mahasiswa".

Umumnya, apabila membincangkan gerakan mahasiswa, akan terjumpa beberapa ungkapan yang sinonim dengannya, seperti: “kumpulan pendesak (pressure group)”, “watch dog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “student revolt”, ”student resistance”, “student power”, “bersama rakyat” dan sebagainya. Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men” dan bermacam-macam lagi.

Kita kembali kepada denifisi diatas dan cuba teliti betapa mahasiswa seharusnya diberi kebebasan untuk bersuara tanpa perlu disekat. Ini kerana tempoh pengajian 3 hingga 4 tahun adalah tempoh untuk mahasiswa belajar disamping membina prinsip dalam diri. Majoriti mahasiswa tidak mampu berfikir untuk diri sendiri atau untuk negara, lantas mereka hanya diminta (baca: diarah) untuk menjadi pengikut dasar dan sebagai peserta program atau pembuat program sahaja.

Cara-cara tradisional yang “dari atas ke bawah”, “memaksa ketaatan”, “mengekalkan conformity” dan “menghukum apabila silap” perlu DITAMATKAN. Kerajaan, universiti dan golongan dewasa perlu membimbing, menyokong dan menjadi teladan. Masyarakat sivil jangan lagi diperbodohkan. Mahasiswa jangan lagi diperbudakkan. Jelas Saifuddin Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi.

Justeru, amat tidak relevan sekiranya kita terus mengongkong dan menyekat mahasiswa dalam pada masa yang sama gagasan Budaya Ilmu cuba diwujudkan. Kita perlu faham bahawa kritikan itu tidak semestinya membenci, bersetuju tidak semestinya menyokong dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Budaya syaja'ah iaitu “Mengiayakan yang benar dan menidakkan yang bukan” dalam kerangka membina dan menyuburkan semula gerakan mahasiswa perlu di hidupkan. Inilah yang dinamai syaja’ah. Iaitu berani kerana benar dan takut kerana salah. Prinsip dan perangai yang sihat ini sewajarnya dipegang utuh, dijiwai dan dibudayakan oleh generasi muda amnya dan mahasiswa khususnya ke arah meluruskan ufuk minda dan sekaligus mengangkat martabat gerakan mahasiswa itu sendiri. Wallahua'lam.


1 comments

  1. myikhwanfiideen // January 9, 2010 at 10:37 AM  

    Salam..

    Saya suka tulisan saudara...

    Teruskan menulis~