Tuhan tidak menciptakan manusia itu bodoh

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 6:14 PM | | 1 comments »


Ketika sekolah rendah dulu (Tahun 1992-1998), seorang yang sangat rapat dengan saya sering dibandingkan kecemerlangan akademiknya dengan tahap akademik saya. Walaupun umurnya 3 tahun lebih muda, tetapi ia sering diperlekehkan oleh orang lain. Tahap akademik saya pada ketika itu tidaklah seberapa namun boleh dikategorikan sebagai baik menurut pandangan "orang" pada tahun tersebut.

Perlekehan itu juga turut dirasai oleh kedua ibu bapanya pada ketika itu. Apabila sempat untuk berjalan bersama menaiki kenderaan milik mereka yang digunakan untuk mencari sesuap nasi, ibunya sering meluahkan rasa :

"apa la jadi dengan anak makcik sorang tu mail, setiap tahun pelajarannya merosot..makcik pun ndak tahu sudah macam mana mau buat"...(versi sabah)

Saya yang ketika itu hanya murid sekolah rendah hanya mampu mendengar dan bersimpati. Kadang-kadang cuba membantu sekadar yang termampu. Namun, saya mengakui dia amat lemah dalam pelajaran khususnya dalam matematik. Kelas tambahan tidak menjadi pilihan kerana pada waktu itu, krisis kewangan keluarga beliau amat tenat.

Kemorosotan pelajarannya itu "istiqamah" sehingga ke sekolah menengah. Pada waktu itu, saya telah berpisah sekejap kerana terpaksa untuk tinggal di asrama. Sewaktu tinggal di asrama sedikit sebanyak telah memberi jawapan kepada situasi yang saya ceritakan di atas.

Di asrama, saya diberi peluang untuk berkawan dengan orang "TEORI" dan orang "PRAKTIK". Memandangkan saya bersekolah di Sekolah Menengah Teknik, terdapat 2 aliran yang di ajar di sekolah tersebut iaitu aliran Vokasional dan Teknik.

Aliran Vokasional lebih kepada pembelajaran secara teknikal dan praktikal untuk melahirkan tenaga mahir manakala aliran Teknik lebih kepada teori-teori dan sedikit kerja lapangan. Saya tertarik untuk berdamping dengan kawan-kawan yang berada di aliran vokasional. Ternyata ada sebahagian daripada mereka mempunyai keputusan yang kurang memberangsangkan dalam subjek matematik dan sains tetapi cemerlang dalam hal-hal berkaitan memasang enjin kereta, pembinaan tembok bangunan, kimpalan, seni bina, rekaan fesyen, bakeri dan lain-lain yang juga di ajar dalam silibus pelajar bagi yang mengambil aliran Vokasional. Dan mereka-mereka ini sebahagiannya telah berjaya dalam bidang kerjaya yang mereka ceburi.

Saya juga bertemu dengan orang seperti ini ketika saya menjalankan latihan praktikal di syarikat yang menyelesaikan masalah ketidak berhasilan air (Non Revenue Water) di sekitar kawasan Tawau, Sabah. Hanya dengan berbekalkan sijil SPM, dia mampu untuk mengajar seorang engineer yang sudah 4 tahun belajar di Universiti. Saya menganggap mereka-mereka ini adalah manusia PRAKTIS.

Nah.. "Allah tidak menciptakan manusia itu BODOH tetapi Allah menciptakan manusia dengan kebijaksaan yang berbeza."

Guru fizik mengajar kita, objek berbentuk torpedo adalah untuk terbang dan meluncur. Manakala orang-orang tua kata :

" yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek"

Itulah Law of Nature yang tidak berganti dan tidak berubah. Setiap yang diciptakan pasti ada fungsi dan peranan masing-masing. Maha suci Allah yang menciptakan.

Dan hari ini, orang yang saya ceritakan di atas bukan lagi orang yang diperlekehkan seperti dahulu. Sekarang, ramai orang yang memerlukan khidmat dan bakti beliau untuk membuat "wiring" di rumah mereka dan membaiki kerosakan alat-alat elektrik. Kini, keluhan ibunya terhadap situasi yang menimpa dulu, sudah kurang kedengaran.

Jadi, janganlah menilai seseorang terlalu awal berdasarkan keputusan akademiknya semata-mata. Mungkin hari ini kita adalah juara dalam akademik tetapi suatu hari nanti kita tidak tahu, "DIA" itu akan menjadi "SIAPA"?

Mungkin pada masa itu, kita sudah tertunduk malu. Orang yang diperkecilkan suatu masa dahulu telah berdiri satu atau lebih anak tangga dari kita. apa lagi yang hendak di kata?

Kalau lihat yang di bawah lemah, bukan celaan sebagai hadiah. Namun, berilah dorongan dan contoh terbaik kepadanya sebagai mau'izzah hasanah. Moga hidupnya hari demi hari kian berubah ke arah yang lebih "cerah".

Wallahua'lam.


1 comments

  1. MARYAM NASIR // November 8, 2010 at 9:58 AM  

    terharu kakak membacanya ni... hope adik kita tu trus berjaya dalam bidang yang dia ceburi