Berbicara bersama Imam Al-Ghazali

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 11:12 AM | , , | 0 comments »




Petikan Muqaddimah daripada kitab Bidayatul Hidayah karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali

"Katakanlah wahai Muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka. Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik". (Surah Al-Kahfi : Ayat 103-104)

Syaitan sangat pandai mengajar kita akan kelebihan ilmu dan darjat para ulama dan ia mengajar engkau beberapa kelebihan mencari ilmu yang telah disebutkan di dalam hadis dan juga perkataan para ulama, sedangkan syaitan dengan sengaja melupakan kita daripada sabdaan Rasulullah s.a.w yang ertinya:

"Siapa yang bertambah ilmunya sedangkan hidayahnya (amalannya) tidak bertambah, maka ia hanya bertambah jauh dari rahmat Allah."

Dan syaitan juga melupakan kita daripada sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang yang paling dahsyat siksaannya pada hari kiamat nanti ialah orang yang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya"

Padahal Rasulullah s.a.w selalu berdoa serta mengajarkan kepada umatnya untuk selalu meminta:

"Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau daripada ilmu yang tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidah khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan)."

Kita juga dilupakan dengan kisah perjalanan Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang mana Rasulullah telah bersabda :

" Aku melalui pada malam aku di israkkan dengan kaum yang dipotong lidah mereka dengan gunting daripada api. Maka aku bertanya, Siapakah kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang yang suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi kami tidak melakukan dan kami suka melarang orang lain meninggalkan kejahatan tetapi kami mengerjakannya."


Nota:

*Kitab Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) adalah karangan Imam Al-Ghazali r.a. Melalui kitab ini, kita dapat merasai bahawa seolah-olah Imam Al-Ghazali sedang berbicara dengan anak muridnya dari hati ke hati, dari hati nurani seorang murabbi.

*Dalam kitab ini juga Imam Al-Ghazali menggariskan amalan-amalan harian yang kita mesti lakukan setiap hari dan adab-adab untuk melaksanakan amal ibadat agar ianya dapat dilakukan dengan lebih baik dan penuh erti serta memberi kesan yang mendalam.

*Kitab ini juga menunjukkan kepada kita jalan yang mesti diikuti supaya kita dapat meninggalkan segala dosa dan maksiat sama ada secara zahir atau batin.

*Seterusnya beliau juga menyentuh berkenaan adab-adab pergaulan seseorang dengan Allah sebagai Tuhan sekelian alam dan dengan semua lapisan makhluk.

*Bagi saya, buku ini cukup bermanfaat untuk dijadikan sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian. Walaupun harga bagi buku ini hanyalah RM10 sahaja, namun kandungan ilmu yang terdapat di dalam kitab ini sangat tidak ternilai harganya.

Jadi, apa tunggu lagi..jom baca dan jom beramal!!..


0 comments