"Bahlut" - Kisah anak muda kaum Semai

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 8:53 PM | , , | 1 comments »


Penulis : Faisal Tehrani
Harga : RM 23.00
Penerbit : Ameen Kreatif

Hampir 2 tahun telah berlalu program bersama penduduk orang asli di Tanah Abang, Mersing. Peluang untuk bersama dengan orang asli (lihat sini) tidak mungkin dapat di rasai oleh semua orang. Program 6 hari yang di anjurkan pada bulan Mei tahun 2008 memberi seribu satu kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Kebetulan pada waktu itu, saya dilantik menjadi Pengarah Program untuk menguruskan segala gerak kerja bersama rakan-rakan yang lain bagi menjayakan program yang tidak pernah dijalankan sebelum ini di peringkat PMIUTM.

Tanggapan terhadap kehidupan orang asli yang pada awalnya begitu teruk mula berubah setelah sampai ke sana dan bergaul dengan orang-orang kampung. Keadaan yang sebenar tidaklah seteruk yang dijangkakan. Alhamdulillah program dapat dilaksanakan dengan jayanya walaupun tentatif berubah hampir 70% dari perancangan asal.

Kenangan berada di perkampungan orang asli turut dapat saya rasai apabila membaca karya tulisan Faisal Tehrani dalam Novel BAHLUT. Novel ini mengisahkan seorang anak muda orang asli dari kaum Semai bernama Bahlut yang kematian Ayah dan Ibu sejak kecil.

Latar belakang kehidupan semasa kecilnya di perkampungan orang asli yang digambarkan melalui novel ini hampir serupa dengan latar kehidupan semasa saya berkunjung ke perkampungan orang asli di Tanah Abang, Mersing. Anjing-anjing di sana ibarat kucing-kucing yang berkeliaran di sekitar rumah, kehidupan orang kampung juga banyak bergantung kepada hutan dan sungai, serta orang asli sangat pemalu dan rendah diri. Di samping itu, ada beberapa adat dan pantang larang yang perlu diikuti semasa berada di sana.

Dalam novel ini juga menceritakan tentang seorang guru bernama Zaiful yang banyak membantu dalam mengubah hidup Bahlut yang juga merupakan murid yang cukup disayanginya. Cikgu Zaiful merupakan antara watak penting novel ini. Beliau merupakan seorang guru yang mempunyai keazaman yang kuat dan sanggup untuk dihantar ke pedalaman semata-mata untuk mengubah cara berfikir dan kehidupan orang asli. Melalui cikgu Zaiful ini, Bahlut mula berhijrah ke bandar.

Cikgu Zaiful adalah antara orang yang telah memberi perubahan yang besar kepada kehidupan Bahlut. Dia telah membantu Bahlut datang ke Bandar bagi menjalani sistem persekolahan yang lebih baik. Dengan bermulanya penghijrahan Bahlut dari perkampungan orang asli ke bandar, Bahlut mula menunjuk potensi dirinya dalam acara lumba lari.

Bahlut berjaya dimasukkan ke sekolah sukan bukit jalil apabila potensinya terserlah ketika dia cuba-cuba untuk mengambil masa larian 100 meternya di trek. Jurulatih yang melihatnya begitu kagum dengan kepantasan masa lariannya. Melalui sukan lumba lari ini, Bahlut mula terkenal disebabkan prestasinya yang begitu membanggakan dalam acara-acara kejohanan yang telah disertainya. Walaupun pada mulanya, bahlut hanya bermain-main lumba lari dengan sahabatnya untuk balik ke rumah ketika berada di kampung. Namun, Bahlut tidak menyangka dalam main-mainnya, itu merupakan latihan awal sebelum dia bergelar wira dalam acara lumba lari di trek yang sebenar.

Dalam menaiki tangga-tangga untuk menjadi wira, di situ wujudnya orang-orang yang dengki dengan kejayaannya. Itulah fitrah dalam kehidupan. Dugaan dan fitnah adalah salah satu cabaran dalam menuju kejayaan. Namun, berkat kesabaran dan kecekalan yang di tunjukkan oleh Bahlut lama kelamaan desas-desus fitnah yang dilemparkan kepadanya semakin reda. Bahlut adalah seorang yang sabar dan tidak cepat melatah ketika berhadapan dengan masalah.

Selain itu, Bahlut, cikgu Zaiful, Cikgu Zalman (kawan zaiful) dan Kabut (secret admire bahlut..;)) telah dilanda satu konflik apabila Syarikat balak dengan rakus cuba menggunakan pelbagai cara untuk merampas tanah orang asli termasuk meracun sumber bekalan air penduduk kampung untuk membunuh mereka. Walaupun telah lama duduk dibandar, Bahlut masih mengikuti perkembangan kampungnya yang tengah dilanda krisis melalui perantaraan cikgu Zaiful. Babak-babak perjuangan dan keberaniaan melawan kezaliman syarikat balak diceritakan dengan menarik melalui novel ini.

Walaupun novel ini agak santai, tetapi latarnya dan isinya dipenuhi dengan fakta yang boleh memberi input tambahan kepada pembaca. Selain itu, para pembaca juga dihidangkan dengan bahasa-bahasa harian orang asli kaum semai yang boleh digunakan sebagai modal apabila anda bertemu dengan orang asli nanti..:).

Ini adalah novel yang kelima tulisan Faisal Tehrani yang sempat saya khatamkan. Novel Bahlut antara novel yang telah banyak kali saya belek dan mahu beli, tapi baru beberapa minggu lepas saya dapat miliki. Novel Faisal Tehrani yang pernah saya baca antara Tuhan Manusia, Tuhan Mula berbicara, 1511 [KOMBAT], Bedar Sukma Bisu, dan yang terbaru BAHLUT. Pada pandangan saya, novel yang dihasilkan oleh Faisal Tehrani adalah antara novel terbaik yang pernah saya baca berbanding novel-novel lain. Wallahua'lam.


1 comments

  1. diyana mahlil // July 18, 2011 at 11:45 AM  

    diaorg sbnrnya dh maju..tp maju diaorg still jg environment...just kbyakan org asli ni malas nk study sb bg diaorg dlm hutan ada mcm2...