Transformasi : UTM semakin positif

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 9:25 PM | 0 comments »


Perubahan demi perubahan telah banyak berlaku di UTM. Bermula dengan pelan untuk menjenamakan semula UTM sehingga kepada Pelan pembangunan mahasiswa dilihat memberi sedikit impak yang baik kepada suasana akademik dan keintelektualan mahasiswa. Naib Canselor, Prof Dato' Dr Ir Zaini Ujang (lihat website beliau di sini) menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan setakat ini. Watak dan peribadi ayahanda Naib Canselor wajar diteladani oleh para kakitangan universiti mahupun di peringkat mahasiswa sendiri.

zaini ujang

Dengan terbitnya buku "Mengangkasakan pengajian Tinggi" beberapa bulan yang lepas memberi gambaran bahawa ayahanda NC mempunyai matlamat yang jelas untuk membawa universiti lebih maju. Ternyata beliau seorang yang berjiwa besar dan sentiasa terbuka untuk menerima komen dan pandangan daripada semua pihak.



Tulisan kali ini bukanlah untuk memperkenalkan ayahanda Naib Canselor tetapi untuk memberi sedikit komentar berkenaan dengan pembaharuan yang telah beliau bawa sepanjang menjawat jawatan Naib Canselor UTM. Ada baiknya sekiranya perkara yang ma'ruf dihebahkan supaya semua orang dapat mencontohi dan meneladani sesuatu perkara yang baik.

Suasana Intelektual di UTM sepanjang kepimpinan ayahanda NC jelas terasa. Semua jabatan mengambil peranan dalam menghidupkan suasana budaya ilmu dan keintelektualan di UTM. Diskusi demi diskusi diadakan, seminar demi seminar dijalankan dan pembedahan buku telah mula bergiat aktif di sekitar UTM. Perkara yang menarik perhatian apabila Naib Canselor sendiri turun padang untuk membedah buku beliau yang telah diterbitkan oleh Penerbit UTM. Banyak komen dan kritikan yang beliau terima setelah selesai membedah buku "mengangkasa pengajian tinggi". Sikap terbuka beliau jelas dapat dilihat apabila beliau menerima segala kritikan dan pandangan yang dilontarkan oleh para peserta yang hadir.

Antara pembaharuan lain yang telah lakukan adalah dengan mewujudkan 30 "Reading Station" di sekitar UTM. Setiap "reading station" menyediakan pelbagai bahan bacaan yang terdiri daripada buku dan majalah. Ini bertujuan untuk membudayakan sifat membaca dikalangan warga UTM. Di dalam setiap ceramah beliau yang pernah saya ikuti, yang berbahagia Dato' NC sering memperingatkan setiap daripada komuniti UTM agar dapat membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian. Ternyata beliau tidak hanya berteori tetapi berusaha untuk mempraktikalkan teori tersebut.




Perkara lain yang sedang juga dikaji adalah berkenaan Pelan pembangunan mahasiswa UTM. Di peringkat mahasiswa, saya merasakan pengkajian ini amat penting bagi memastikan Mahasiswa yang lahir setelah mendapat pendidikan di UTM merupakan mahasiswa yang berkualiti, berakhlak mulia dan berwawasan. Saya masih belum mendapat maklumat berkenaan Pelan pembaharuan ini, namun saya selaku mahasiswa UTM akan sedia untuk memberi pandangan mahupun kritikan kepada pelan yang telah dikaji bagi memastikan UTM akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Terdapat banyak lagi perubahan yang telah dilakukan. Perubahan atau transformasi setakat ini menunjukkan prestasi yang boleh dikatakan membanggakan namun tidak dinafikan terdapat kelemahan yang masih belum dapat di atasi seperti gejala sosial, gejala hedonisme , beberapa ketidakadilan terhadap hak mahasiswa serta beberapa perkara yang lain. Tetapi saya yakin, dengan kepimpinan baru yang ada sekarang, transofmarsi ke arah yang lebih baik akan dapat di kecapi pada masa akan datang. Wallahua'lam.


0 comments