Muqaddimah sebuah perjuangan

Posted by Pembekal Ikan Bilis Tawau | 8:13 AM | 0 comments »

"Gelombang Baru Mahasiswa UTM"

Alhamdulillah 13 Januari 2008 telah berakhir pilihan Raya Kampus UTM. Keputusan yang diperolehi telah memihak kepada Pro Aspirasi(Evolusi Mahasiswa). Pro Mahasiswa bagaimanapun tidak kecewa dengan keputusan pilihanraya baru-baru ini kerana PRO M telah berjaya merubah lanskap politik kampus UTM yang selama ini "kaku dan beku".

Pilihanraya kampus kali ini telah memberi impak yang besar kepada "political mileage" mahasiswa UTM dengan kehadiran gelombang baru yang di bawa oleh Pro Mahasiswa. Ini tidak dapat dinafikan kerana statistik Peratusan Pelajar UTM keluar mengundi telah meningkat kepada 90.7 % (16932 Orang Pengundi) dan kesemua fakulti mencapai lebih 90% mahasiswa yang keluar mengundi kecuali Fakulti kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Alam bina dan Fakulti Elektrik yang masing-masing mempunyai peratusan keluar mengundi 80-90%. Ini menunjukkan bahawa Mahasiswa UTM semakin matang dan mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan yang akan menerajui kepimpinan kampus.

Kepimpinan mahasiswa yang baru dilantik diharap dapat bertindak lebih agresif bukan sahaja dalam membantu menjaga kebajikan dan memperjuangkan hak Mahasiswa tetapi dapat bersama-sama membantu universiti dalam mewujudkan budaya akademik yang lebih terbuka serta persekitaran yang lebih berintelektual seperti yang ingin digagaskan oleh Dato Prof Ir Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UTM dalam bukunya "mengangkasa Pengajian Tinggi" yang baru diterbitkan awal bulan ini.

Perbezaan idealisme dan pembawakan yang berbeza oleh Pro Mahasiswa sepatutnya diterima secara terbuka oleh semua pihak sama ada pihak pentadbiran universiti ataupun pihak Aspirasi itu sendiri. Pihak yang bukan Pro Pengetua tidak sepatutnya dituduh menentang universiti kerana Pro Mahasiswa mempunyai calon mereka sendiri yang diyakini dapat membawa perubahan kepada kampus untuk lebih maju kehadapan seiring dengan hasrat universiti. Mahasiswa perlu ada Pro Mahasiswa bukannya mahasiswa yang Pro Pengetua kerana pilihanraya kampus merupakan pilihanraya untuk mahasiswa, bukan pilihanraya untuk pengetua. Mahasiswa perlu jelas dan faham bahawa mereka tidak perlu dikongkong dan dipergunakan oleh mana-mana pihak agar pemikiran Mahasiswa lebih terbuka dan bebas untuk bergerak serta menyatakan pendirian kepada sesiapa sahaja.

Oleh itu, Duta-duta Pro Mahasiswa yang berada di dalam saff kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar pada kali ini diharap dapat menjadi contoh tauladan kepada kepimpinan Aspirasi dan menjadi agen penggerak dalam membina kesedaran dikalangan mahasiswa serta memastikan kepimpinan Mahasiswa yang telah dilantik tidak terus "tidur" dalam melaksanakan tugas memperjuangkan hak-hak mahasiswa.

Evolusi Mahasiswa diingatkan bahawa Perjuangan Pro Mahasiswa tidak akan terhenti sekadar dalam pilihanraya kampus sahaja . Pro Mahasiswa akan terus bersama-sama mahasiswa dalam memperjuangkan hak dan kebajikan mereka di kampus. Ini ditegaskan sendiri oleh saudara hafiz, sahabat "se-PRO M" saya, selaku ketua jentera PRK pada kali ini, bahawa kekalahan dalam pilihanraya kampus tidak akan menjadi rintangan atau halangan kepada Pro Mahasiswa untuk terus menyatakan pendapat dan pendirian tentang sesuatu isu yang berlaku. Evolusi Mahasiswa yang berada di barisan Majlis Perwakilan pelajar perlu lebih bersedia dan berhati-hati dalam memimpin kampus kerana pilihanraya baru-baru ini hanya merupakan Muqaddimah atau pengenalan kepada sebuah Perjuangan Pro Mahasiswa yang sebenar. Wallahua'lam. Student..Power!!!

Kenangan Pilihanraya Kampus UTM 2008


















0 comments